KUALA LUMPUR: Kesakitan pada lutut yang dialami dua minggu sebelum kejohanan tidak menghalang gimnas artistik negara, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam untuk terus berjuang demi Malaysia apabila berjaya melayakkan diri ke pentas akhir dalam dua acara pada pada Sukan Komanwel 2026.
Bagi Sharul, kecederaan yang dialami sebelum berlepas ke kejohanan itu menyebabkan persiapannya sedikit terganggu, namun dia memilih untuk mengetepikan kesakitan sebaik melangkah ke gelanggang pertandingan.
Meskipun tidak berada dalam kondisi terbaik, dia berjaya membuktikan semangat juang tinggi apabila mara ke final acara senaman lantai selepas mengumpul 13.250 mata, selain turut menempah tempat dalam final acara melombo dengan catatan 13.725 mata.
"Dua minggu sebelum datang ke sini saya mengalami sedikit kecederaan pada bahagian lutut. Jadi dalam tempoh itu memang saya tidak dapat melakukan persembahan dengan baik.
"Memang ada tekanan, tetapi apabila masuk pertandingan saya berikan segala-galanya. Saya sangat gembira dengan persembahan yang dipamerkan," katanya yang akan turun di final esok malam.
Sementara itu, seorang lagi gimnas negara, Ng Chun Chen mengakui kecewa apabila melakukan kesilapan yang tidak dijangka ketika beraksi meskipun sudah melakukan persiapan rapi sepanjang latihan.
"Saya sendiri rasa pelik kenapa perkara itu boleh berlaku sedangkan kami menjalani latihan setiap hari, memberikan komitmen sepenuhnya dan berusaha sedaya upaya.
"Tetapi inilah pertandingan, apa sahaja boleh berlaku. Saya langsung tidak menjangkakan perkara itu. Selepas terjatuh tadi, saya hanya mampu tertanya-tanya bagaimana perkara itu boleh berlaku," katanya.
Chun Chen beraksi dalam dua acara, iaitu kekuda berpelana dengan mengumpul 12.400 mata dan palang sejajar (12.850 mata). Namun, catatan mata itu tidak mencukupi untuk membolehkannya layak ke pentas akhir.
























