JEDDAH, Arab Saudi: Bekas juara dunia heavyweight dua kali, Anthony Joshua bangkit daripada dua kali dijatuhkan sebelum menewaskan Kristian Prenga menerusi kemenangan knockout (KO) pada pusingan kedua sekali gus membuka laluan kepada pertarungan besar sesama Britain menentang Tyson Fury.
Pertarungan di Jeddah Superdome itu adalah aksi pertama Joshua sejak terbabit dalam kemalangan kereta di Nigeria pada Disember lalu yang mengorbankan dua rakan karibnya, Sina Ghami dan Latif Ayodele.
Peninju berusia 36 tahun itu sebak apabila ditanya di dalam gelanggang mengenai rakannya dan emosi yang dilaluinya sepanjang tujuh bulan lalu, namun berkata kebangkitannya pada pusingan kedua bukan hanya disebabkan kuasa tumbukannya.
"Itu adalah semangat, ia adalah Latz, ia adalah Sina. Ia adalah keluarga," katanya.
Kemalangan tragis itu berlaku hanya lebih seminggu selepas Joshua menewaskan YouTuber yang juga peninju, Jake Paul dalam pertarungan kontroversi yang disokong Netflix pada Disember.
Penampilan kompetitif terakhir Joshua sebelum ini menyaksikannya tewas menerusi KO pada pusingan kelima kepada juara dunia IBF, Daniel Dubois di Stadium Wembley pada September 2024.
Kemenangan itu menyaksikan rekod Joshua meningkat kepada 30 kemenangan dan empat kekalahan, dengan 27 kemenangan menerusi KO, namun bukan tanpa detik cemas.

Prenga dari Albania, yang memiliki rekod 20 kemenangan menerusi KO daripada 21 pertarungan sebelum ini, menjatuhkan Joshua ke kanvas menerusi tumbukan uppercut tangan kanan hanya 20 saat selepas pertarungan bermula.
Dia sekali lagi mengasak Joshua ke tali gelanggang apabila kaki lawannya kelihatan goyah sebelum menjatuhkannya buat kali kedua pada hujung pusingan pertama.
Bagaimanapun, Joshua kembali menguasai keadaan pada pusingan kedua apabila memaksa Prenga berundur ke penjuru gelanggang menerusi tumbukan jab, sambil menyerap beberapa tumbukan padu daripada peninju Albania itu sebelum menghasilkan serangan balas menerusi tangan kirinya.
Satu kombinasi tumbukan ganas yang diakhiri dengan tumbukan tangan kanan menyebabkan Prenga tercampak melepasi tali gelanggang, sekali gus menamatkan pertarungan pada minit 2:43 pusingan kedua.
Joshua dan Fury kini dijangka bertemu dalam pertarungan "Battle of Britain" pada November, dengan lokasi masih belum diumumkan.
Namun Joshua yang kelihatan yakin melihat masa depannya dengan penuh optimis.
"Saya tidak boleh dihalang. Saya tidak akan dihalang. Saya tidak akan dinafikan," katanya. – AFP


















