ABU DHABI: Bekas juara light heavyweight UFC, Magomed Ankalaev mempertahankan status pencabar nombor satu selepas menewaskan Bogdan Guskov menerusi kemenangan teknikal knockout (TKO) pada pusingan kelima di UFC Fight Night Abu Dhabi, awal pagi tadi.
Pertarungan utama di Etihad Arena itu bermula perlahan sehingga mengundang sorakan tidak puas hati penyokong apabila kedua-dua petarung lebih banyak berhati-hati sepanjang tiga pusingan pertama.
Ankalaev kemudian meningkatkan rentak pada dua pusingan terakhir apabila berjaya menjatuhkan Guskov sebelum menguasai pertarungan di atas kanvas.
Pada pusingan kelima, Guskov hampir melakukan kejutan menerusi cubaan kuncian, namun Ankalaev berjaya melepaskan diri sebelum mengambil semula posisi dominan dan melepaskan siri tumbukan bertalu-talu yang memaksa pengadil menghentikan pertarungan pada minit 2:41.
Kemenangan itu adalah yang ke-13 buat Ankalaev dalam UFC, rekod terbanyak dalam kalangan petarung aktif kelas light heavyweight.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Bogdan kerana menerima pertarungan ini. Saya berasa sangat baik," kata Ankalaev.
Kejayaan itu turut mengukuhkan peluang Ankalaev untuk mencabar juara kelas light heavyweight, Carlos Ulberg yang kini masih menjalani proses pemulihan susulan kecederaan ligamen lutut.
Sementara itu, Ramazan Temirov meneruskan aksi cemerlang apabila mencatat kemenangan ke-12 berturut-turut selepas menumbangkan bekas pencabar kejuaraan, Steve Erceg menerusi KO pada pusingan pertama.
Temirov menamatkan pertarungan pada minit 4:21 sebelum mencabar juara kelas flyweight UFC, Joshua Van.
"Saya bersedia menentang sesiapa saja. Siapa pun juaranya, saya sudah bersedia," katanya. – REUTERS

















