GLASGOW: Gimnas England, Gabriel Langton dibenarkan keluar dari hospital selepas imbasan mengesahkan dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius susulan insiden ngeri yang menyebabkan final berpasukan lelaki Sukan Komanwel dihentikan sementara.
Atlet berusia 19 tahun itu terjatuh dalam keadaan kepala terlebih dahulu ketika melakukan aksi di palang tinggi pada apparatus terakhir final, kelmarin.
Pertandingan terpaksa dihentikan selama 20 minit ketika dia diperiksa dengan teliti oleh pasukan perubatan sebelum dibawa keluar dari gelanggang menggunakan pengusung.
"Gabriel dibawa ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga semalaman dan menjalani beberapa imbasan hari ini dengan keputusan yang amat positif," menurut Team England dalam satu kenyataan.
"Syukur, dia disahkan tidak mengalami sebarang komplikasi kecederaan serius dan akan dibenarkan keluar untuk kembali ke hotel pasukan petang ini.
"Dia berada dalam keadaan bersemangat dan amat berterima kasih atas pelbagai mesej sokongan serta layanan cemerlang daripada pasukan perubatan. Dia tidak sabar untuk kembali bersama rakan sepasukan bagi meraikan pingat perak yang dimenangi."
England menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Kanada, manakala Australia meraih gangsa.
Gimnas Kanada, Felix Dolci berkata: "Ia sesuatu yang menyedihkan tetapi ia membuktikan gimnastik adalah sukan yang amat sukar dan rumit. Kadangkala ia juga berbahaya.
"Semua doa dan ingatan kami bersama Gabriel serta pasukan England." – AFP
























