BH Online
Ringkasan Berita

Angkat berat jadi sandaran buru emas

GLASGOW: Kontinjen Malaysia mengharungi hari kedua Sukan Komanwel Glasgow 2026 dalam suasana suram apabila wakil negara gagal mencatat keputusan memberangsangkan dalam beberapa acara termasuk renang, renang para, bola keranjang kerusi roda 3x3, boling padang dan gimnastik artistik.
Angkat berat jadi sandaran buru emas

Badang negara Aniq Kasdan (lima dari kiri), Aznil Bidin (empat dari kiri) dan Erry Hidayat (dua dari kanan) bersama rakan sepasukan sedia memulakan cabaran pada Sukan Komanwel Glasgow 2026. – Foto BERNAMA

GLASGOW: Kontinjen Malaysia mengharungi hari kedua Sukan Komanwel Glasgow 2026 dalam suasana suram apabila wakil negara gagal mencatat keputusan memberangsangkan dalam beberapa acara termasuk renang, renang para, bola keranjang kerusi roda 3x3, boling padang dan gimnastik artistik.

Di Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, empat perenang negara gagal melepasi saingan peringkat awal dengan Khiew Hoe Yean muncul wakil paling hampir untuk melangkah ke final acara 400 meter gaya bebas lelaki.

Hoe Yean menamatkan saingan di kedudukan ke-10 daripada 27 peserta selepas mencatat masa 3 minit 54.23 saat sekali gus terlepas peluang berada dalam kelompok lapan terbaik untuk layak ke final.

Catatan itu juga masih jauh daripada rekod kebangsaan dan rekod peribadinya 3:47.38s, manakala seorang lagi wakil negara dalam acara sama, Tan Khai Xin menamatkan saingan di tempat ke-14 keseluruhan dengan catatan 3:57.54s.

Dalam acara 50m gaya bebas lelaki, Lim Yin Chuen dan Arvin Shaun Singh Chahal turut gagal menempatkan diri dalam kelompok 16 terbaik untuk mara ke separuh akhir.

Bagaimanapun, perenang para negara, Ethan Khoo layak ke final acara 200m gaya bebas lelaki S14 sebelum menamatkan saingan di tangga keempat dengan catatan 2:05.25s.

Sementara itu, skuad bola keranjang kerusi roda 3x3 lelaki negara terpaksa akur dengan kekalahan tipis 13-14 kepada Wales dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Scottish Event Campus.

Bagaimanapun, pasukan negara bangkit menewaskan Kenya dan Singapura dengan keputusan sama 21-15.

Dalam acara boling padang, pemain perseorangan lelaki, Izzat Shameer Dzulkeple serta gandingan berpasangan wanita Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman masing-masing mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan kumpulan, sekali gus mencerahkan peluang mara ke pusingan seterusnya.

Cabaran negara dalam gimnastik artistik wanita pula menyaksikan Rachel Yeoh mara ke final acara palang bertingkat selepas menduduki tempat ketiga daripada 49 atlet pada pusingan kelayakan di Arena Antarabangsa Glasgow.

Sementara itu, tumpuan kontinjen negara hari ini dijangka terarah kepada acara angkat berat apabila dua juara bertahan Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin memulakan misi memburu pingat emas buat Malaysia.

Aniq akan beraksi dalam kategori 60 kilogram lelaki, manakala Aznil yang memburu hatrik pingat emas akan bersaing dalam kategori 65kg lelaki pada hari pembukaan saingan angkat berat di SEC Armadillo.

Kuartet Hoe Yean, Arvin Shaun, Yin Chuen dan Khai Xin pula berpeluang menebus kekecewaan apabila turun beraksi dalam acara 4x200m gaya bebas.

Setakat ini Malaysia mengumpul satu pingat gangsa menerusi jaguh para powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dalam kategori lightweight lelaki. – BERNAMA

Video Terkini

Berita Berkaitan