PETALING JAYA: Kejohanan Golf Perniagaan Asia (ABGC) terus menawarkan platform kompetitif yang unik kepada komuniti korporat negara untuk mengukuhkan hubungan perniagaan menerusi sukan golf.
Pusingan keempat kejohanan yang berlangsung di Tropicana Golf & Country Resort di sini, pada Khamis lalu menghimpunkan 100 peserta merangkumi pemimpin korporat, usahawan dan golongan profesional yang bukan sahaja beraksi di padang golf, malah memanfaatkan peluang menjalinkan rangkaian perniagaan sambil merebut pelbagai hadiah serta trofi menarik.
Memasuki separuh kedua kejohanan, saingan semakin sengit apabila juara kategori gross dan nett bagi pertandingan `Two Ball Best Ball Stableford' bakal melayakkan diri ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung di The Els Club Teluk Datai, Langkawi pada Oktober ini.
Dalam kategori gross, gandingan AJS Niaga yang dibarisi Mohamad Azim Syahmi (6 handicap) dan Sharul Nizam Mohamed (3) muncul juara menerusi kiraan semula (OCB) selepas berkongsi catatan tiga bawah par bersama pasangan Lim Bu Keong (5) dan Chun Yoon Kong (10) daripada pasukan Tropicana Solid Packaging Services Sdn Bhd.

Tempat ketiga menjadi milik gandingan Feyyaz Ashaari (9) dan Ahmad Zulfaqar Ahmad Aidy (18) daripada Feyyaz Sports Group yang mencatat gabungan dua atas par.
Bagi kategori nett pula, Nur Misuari Abd Rahman (8 handicap) dan Abi Sufyan Zainuddin (6) daripada DSevenFour Ventures muncul juara menerusi kiraan OCB selepas mencatat skor maksimum dibenarkan lima bawah par.
Mereka mengatasi gandingan Edmond Ng (9) dan Eugene Goh (8) daripada pasukan Bingxu, manakala Chong Chit Heng (8) bersama Mohd Zaid Mohd Noor (13) mewakili Takuni Sdn Bhd melengkapkan kedudukan tiga terbaik.
Semua pemenang menerima trofi dan hadiah penjagaan diri tajaan Panasonic Malaysia yang disampaikan oleh Pengerusi ABGC, Datuk Mohd Salim Mohamed Sain.
ABGC yang dianjurkan di bawah naungan Diraja Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah membabitkan tujuh pusingan kelayakan di beberapa kelab golf terkemuka di Semenanjung Malaysia.
Pusingan kelayakan seterusnya dijadualkan berlangsung di Horizon Hills Golf & Country Club, Iskandar Puteri, Johor pada 6 Ogos ini, manakala pusingan akhir akan diadakan di The Els Club Teluk Datai, Langkawi dari 11 hingga 14 Oktober.
Kejohanan anjuran Elora Global Sdn Bhd itu terus mendapat sokongan pelbagai penaja korporat dan menjadi antara platform utama menghubungkan jaringan perniagaan melalui sukan golf di negara ini.
Ia turut mendapat sokongan daripada Persatuan Golf Malaysia (MGA), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Tourism Malaysia, Tourism Selangor dan Menteri Besar Incorporated (MBI), Kota Permai Golf & Club, Glenmarie Golf & Country Club, Royal Perak Golf Club, Tropicana Golf & Country Resort, Horizon Hills Golf & Country Club, Staffield Country Resort, Templer Park Country Club dan The Els Club Teluk Datai.
Mohd Salim berkata, ABGC kini semakin menarik lebih ramai penyertaan bukan sahaja peserta tempatan malah dari beberapa negara Asia Pasifik termasuk Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam.
"Negara-negara terbabit berminat untuk menganjurkan saingan ABGC serta menghantar juara keseluruhan masing-masing ke pusingan akhir di Langkawi," katanya.
























