BH Online
Ringkasan Berita

Adik Madeleine McCann cipta kejutan di Glasgow

GLASGOW: Sean McCann, adik kepada Madeleine McCann yang hilang ketika bercuti di Portugal pada 2007, mencipta kejayaan peribadi apabila melangkah ke final acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow, hari ini.
Adik Madeleine McCann cipta kejutan di Glasgow

Sean McCann menduduki tempat keempat saringan ketiga acara 400m gaya bebas. Foto REUTERS

GLASGOW: Sean McCann, adik kepada Madeleine McCann yang hilang ketika bercuti di Portugal pada 2007, mencipta kejayaan peribadi apabila melangkah ke final acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow, hari ini.

Perenang berusia 21 tahun itu menempah tiket ke pentas final selepas menamatkan saingan saringan ketiga di Pusat Renang Antarabangsa Tollcross di tempat keempat dengan catatan 3:52.64 saat (s).

Catatan berkenaan sudah cukup untuk membawanya ke final selepas menduduki tempat kelapan keseluruhan daripada empat saringan yang dipertandingkan.

Kejayaan itu diraikan bersama ibu bapanya, Gerry dan Kate McCann yang hadir memberikan sokongan dari tempat duduk penonton.

Sean mengakui gembira selepas berjaya melangkah ke final, walaupun tidak meletakkan sasaran tinggi berikutan persaingan sengit dalam kejohanan berkenaan.

"Saya sangat gembira. Ia bukan sesuatu yang saya jangkakan sebelum kejohanan, terutama dengan barisan peserta yang kuat.

"Sudah tentu saya berasa gementar kerana ramai yang menyaksikan perlumbaan ini. Saya mahu memberikan aksi terbaik bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga buat Team Scotland," katanya.

Sean baru berusia dua tahun ketika kakaknya, Madeleine, hilang beberapa hari sebelum sambutan ulang tahun keempatnya ketika keluarga mereka bercuti di Praia da Luz, Portugal pada 2007.

Sehingga kini, Madeleine masih belum ditemui walaupun pelbagai usaha pencarian dilakukan.

Sean yang menuntut kejuruteraan kimia di Universiti Loughborough sebelum ini pernah mewakili Scotland pada Sukan Belia Komanwel di Tobago pada 2023, dengan menduduki tempat kelima dalam acara 400m gaya bebas.

Walaupun membesar di England, Sean layak mewakili Scotland menerusi bapanya yang berasal dari Glasgow.

Sean mahu menjadikan pengalaman di Sukan Komanwel sebagai batu loncatan untuk memburu tempat dalam skuad Great Britain ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Video Terkini

Berita Berkaitan