BH Online
Ringkasan Berita

Empat perenang negara kandas

KUALA LUMPUR: Hari suram buat skuad renang Malaysia apabila kesemua empat wakil negara, termasuk Khiew Hoe Yean, gagal melangkah ke final acara masing-masing pada Sukan Komanwel di Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, hari ini.
Empat perenang negara kandas

Hoe Yean menamatkan Saringan 3 acara 400m gaya bebas di tempat kelima.NSTP/HAZREEN MOHAMAD

KUALA LUMPUR: Hari suram buat skuad renang Malaysia apabila kesemua empat wakil negara, termasuk Khiew Hoe Yean, gagal melangkah ke final acara masing-masing pada Sukan Komanwel di Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, hari ini.

Arvin Shaun Singh Chahal dan Ananda Lim yang beraksi dalam acara 50 meter gaya bebas masing-masing memenangi saringan, namun gagal mencatat masa dalam kelompok 16 perenang terpantas untuk layak ke separuh akhir.

Arvin yang beraksi di Saringan 1 mencatat masa 23.85 saat (s) untuk muncul juara saringan, mengatasi perenang Pakistan, Asif Hamza (24.17s) dan wakil Sri Lanka, Fidhyan Muhammad (24.17s).

Ananda pula mengungguli Saringan 2 dengan catatan 23.82s, diikuti Alexander Joachim dari Saint Vincent dan Grenadines (23.98s) serta Damien Selso de Sousa dari Eswatini (24.83s).

Bagaimanapun, catatan kedua-dua perenang negara itu belum memadai apabila Ananda menduduki tempat ke-28 manakala Arvin ke-29 keseluruhan daripada 72 peserta.

Masa yang direkodkan mereka juga masih jauh daripada rekod kebangsaan milik Harvey Pang iaitu 22.48s yang dilakukan pada Sukan SEA Thailand tahun lalu.

Sementara itu, Hoe Yean mencatat masa 3:54.23s untuk menamatkan Saringan 3 acara 400m gaya bebas di tempat kelima, sekali gus berada di kedudukan ke-10 keseluruhan.

Catatan itu juga gagal menyamai rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 3:47.38s.

Jayden Tan pula muncul juara Saringan 2 dengan catatan 3:57.54s, namun hanya menduduki tempat ke-14 keseluruhan daripada 27 perenang, dengan hanya lapan terbaik layak ke final.

Keempat-empat perenang berkenaan sebelum ini beraksi dalam final acara berganti-ganti 4x100m gaya bebas pada Jumaat, namun sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh dengan catatan 3:24.32s.

Video Terkini

Berita Berkaitan