KUALA LUMPUR: Skuad angkat berat negara memikul tanggungjawab besar untuk merealisasikan sasaran pingat emas kontinjen Malaysia apabila memulakan cabaran di Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Auditorium SEC Armadillo, esok.
Dengan sasaran sekurang-kurangnya tiga pingat emas, skuad kendalian Edmund Yeo dijangka menjadi penyumbang terbesar kepada sasaran keseluruhan lima emas yang ditetapkan kontinjen negara pada temasya kali ini.
Tumpuan utama pastinya terarah kepada dua juara Birmingham 2022, Mohamad Aniq Kasdan dan Aznil Bidin yang kekal menjadi sandaran utama Malaysia meskipun kategori pertandingan sudah dirombak oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).
Aniq akan beraksi dalam kategori bawah 60 kilogram (kg), manakala Aznil bersaing dalam kategori bawah 65kg selepas kategori bawah 55kg dan bawah 61kg yang mereka menangi di Birmingham dimansuhkan.
Sekiranya berjaya muncul juara, Aznil bakal mencipta sejarah sebagai atlet Malaysia pertama memenangi pingat emas dalam tiga edisi Sukan Komanwel berturut-turut selepas menjuarai kategori bawah 62kg di Gold Coast 2018 dan bawah 61kg di Birmingham 2022.
Selain Aniq dan Aznil, Malaysia turut mengharapkan kilauan emas daripada Erry Hidayat (bawah 79kg), Hafizuddin Roslin (bawah 88kg) dan Syahmi Nor Ghazali (bawah 94kg), walaupun laluan mereka dijangka lebih mencabar.
Edmund berkata, persiapan atlet berada pada tahap terbaik selepas menjalani kem latihan intensif di Rompin sebelum menyempurnakan fasa kemuncak latihan di Turkiye.
"Atlet kami membuat persiapan yang lebih baik kali ini selepas menjalani kem latihan intensif di Rompin dan fasa 'peaking' di Turkiye.
"Kini terpulang kepada atlet untuk kekal fokus dan mempamerkan kemampuan sebenar di pentas pertandingan. Sasaran kami ialah sekurang-kurangnya tiga pingat emas, namun kami berharap dapat meraih lebih daripada itu.
"Kami sudah membuat perbandingan dengan pencabar dan saingan dalam beberapa kategori memang sangat rapat. Semuanya bergantung kepada strategi serta pelaksanaan pada hari pertandingan," katanya.
Turut menggalas cabaran negara ialah Irene Henry (bawah 48kg), Syazwani Radzi (bawah 63kg), Aqilah Draman (atas 86kg) dan Farris Kamarul (atas 110kg), dengan keseluruhan skuad tiba di Glasgow selepas menjalani latihan selama hampir empat minggu di Turkiye.
























