KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib menjulang tali pinggang Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai, jaguh negara itu mengakui pertarungan menentang legenda Thailand, Sam-A Gaiyanghadao adalah antara yang paling menyeksakan pernah dilaluinya.
Malah, Aliff menyifatkan setiap serangan yang dilepaskannya seolah-olah mengenai batu apabila berdepan lawan yang terkenal dengan ketahanan fizikal luar biasa itu pada aksi utama ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand, semalam.
Menurut petarung berusia 22 tahun itu, dia yakin memenangi tiga pusingan pertama, namun setiap kali bertukar serangan dengan bekas juara dunia berusia 42 tahun itu, kesakitan mula dirasai di seluruh badan sehingga memaksanya mengubah strategi.
"Saya yakin menang pusingan pertama, kedua dan ketiga. Tetapi apabila bertarung dengan Sam-A, saya sepak dia saya rasa sakit, dia sepak saya pun saya rasa sakit. Saya nak beritahu semua, tulang orang tua itu memang keras. Memang keras. Bahagian kaki saya semua rasa sakit.
"Saya nak beritahu semua, tulang Sam-A memang keras. Pusingan kedua saya sudah mula rasa, tetapi masih boleh bertahan. Masuk pusingan ketiga, setiap kali saya buat serangan saya pula yang rasa sakit. Dia pukul saya sakit, saya pukul dia pun saya sakit. Satu badan saya rasa sakit, cuma muka saya saja tidak pecah (berdarah)," katanya.
Justeru, melihat lawannya ibarat 'tembok batu', atlet kelahiran Kelantan itu terpaksa mengubah strategi dengan mengurangkan tendangan pada pusingan keempat sehingga aksinya dilihat sedikit perlahan berbanding sebelumnya.
"Sebab itu pusingan keempat saya kurang menendang. Saya nak sepak pun sakit. Rasa macam menendang batu. Masa itu saya yakin saya sudah menang tiga pusingan, tetapi ayah beritahu saya, 'Aliff, tak boleh. Pusingan kelima kita kena menang. Kalau menang pusingan kelima, kita menang dengan jelas',"katanya.
Semangat yang ditiup bapanya, Rakib Ahmad, membakar tekad Aliff untuk terus mengasak pada pusingan terakhir walaupun menahan kesakitan, sebelum serangan bertubi-tubinya memaksa pengadil menghentikan pertarungan dan menghadiahkannya kemenangan menerusi knockout (KO).
"Pusingan kelima, walau macam mana sakit sekalipun saya tetap teruskan. Alhamdulillah, ada rezeki dapat menang KO. Saya tak tahu macam mana nak gambarkan kegembiraan itu. Bukan saya seorang saja yang melompat, ayah saya pun naik melompat sampai buat 'backflip'. Umur dia dah hampir 60 tahun," katanya.
Kemenangan itu bukan sahaja menghadiahkan Aliff gelaran Juara Dunia Interim ONE Strawweight Muay Thai, malah mengukir sejarah apabila muncul rakyat Malaysia pertama merangkul tali pinggang dunia interim ONE Championship, sekali gus membuktikan ketabahan mampu mengatasi segala kesakitan di atas gelanggang.
Dalam masa sama, Aliff turut meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama penyokong yang hadir ke Stadium Lumpinee.
Malah, dia juga berjaya menunaikan janjinya untuk membawa pulang tali pinggang kejuaraan itu ke tanah air.
Kemenangan itu turut melayakkan Aliff menerima bonus persembahan berjumlah AS$50,000 (RM214,000), sesuatu yang disifatkannya amat bermakna selepas lebih setahun tidak menerima bonus.
























