KUALA LUMPUR: Kejayaan Ahmad Nor Iman Aliff Rakib muncul rakyat pertama Malaysia bergelar juara dunia ONE Championship diharap menjadi pencetus semangat kepada lebih ramai anak muda untuk berani mengejar impian, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Anwar, pencapaian bersejarah yang dilakar jaguh Muay Thai negara itu membuktikan tiada kejayaan yang mustahil dicapai jika disertai kesungguhan, disiplin dan semangat juang tinggi.
"Semoga pencapaian bersejarah ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk terus mengejar cita-cita dengan tekad, disiplin dan semangat juang yang tinggi.
"Yakinlah, tiada yang mustahil apabila usaha disertai kesungguhan dan tawakal.
"Syabas, Aliff. Malaysia berbangga dengan kejayaan ini," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Aliff mencipta sejarah terbesar dalam karier profesionalnya apabila menewaskan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao menerusi kemenangan KO untuk merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight pada acara ONE Championship di Stadium Lumpinee, Bangkok.
Kejayaan itu menyaksikan Aliff muncul atlet pertama negara menjulang gelaran dunia di bawah organisasi ONE Championship.
























