BH Online
Ringkasan Berita

Scott pecah dominasi Australia di kolam renang

GLASGOW: Duncan Scott menghadiahkan pingat emas pertama buat tuan rumah Scotland pada Sukan Komanwel 2026 sekali gus memecahkan dominasi Australia di kolam renang pada hari pertama penuh temasya di Glasgow, malam tadi.
Scott pecah dominasi Australia di kolam renang

Pemenang pingat emas dari Scotland, Duncan Scott (tengah), pemenang perak dari New Zealand, Lewis Clareburt (kiri) dan pemenang gangsa dari England, Thomas Dean bergambar di podium acara renang 200m rampaian individu lelaki pada Sukan Komanwel 2026 di Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, Glasgow. – Foto AFP

GLASGOW: Duncan Scott menghadiahkan pingat emas pertama buat tuan rumah Scotland pada Sukan Komanwel 2026 sekali gus memecahkan dominasi Australia di kolam renang pada hari pertama penuh temasya di Glasgow, malam tadi.

Dengan program temasya kali ini hampir separuh lebih kecil dan hanya membabitkan 10 sukan, acara renang menjadi tumpuan utama sepanjang hujung minggu pembukaan.

Scott mencatat rekod baharu Sukan Komanwel dengan masa satu minit 56.38 saat untuk memenangi acara 200 meter rampaian individu, mengatasi Lewis Clareburt dari New Zealand dan perenang England, Thomas Dean.

Perenang berusia 29 tahun itu kini memiliki empat pingat emas Sukan Komanwel dan keseluruhan 14 pingat sepanjang penyertaannya.

"Ia satu perlumbaan yang sukar kerana anda benar-benar mahu memberikan momentum awal yang baik kepada pasukan dan sebagai antara atlet paling berpengalaman, tanggungjawab itu terletak di bahu saya.

"Saya agak gementar sebelum perlumbaan. Mereka memberikan saingan sengit, tetapi saya gembira dengan keputusan ini. Ia satu permulaan yang baik bagi temasya ini," kata Scott.

Di venue lain, Australia terus menguasai podium, dengan atlet yang muncul juara turut menerima ganjaran tambahan.

Hartawan perlombongan dan individu terkaya Australia, Gina Rinehart menyediakan skim insentif sebanyak AUS$20,000 (kira-kira RM57,000) bagi setiap pingat emas dan AUS$30,000 (RM85,600) bagi setiap rekod dunia yang dipecahkan.

Perenang Australia mendominasi temasya di Birmingham empat tahun lalu apabila memenangi hampir separuh daripada 52 pingat emas yang dipertandingkan dan kali ini mereka memenangi empat daripada lima final pada malam pembukaan.

Lani Pallister muncul atlet pertama meraih ganjaran itu apabila mengetuai kedudukan satu, dua dan tiga buat Australia dalam acara 400m gaya bebas wanita.

Jenna Forrester memenangi gangsa dalam perlumbaan pingat pertama malam itu sebelum menafikan impian Katie Shanahan menghadiahkan emas buat Scotland apabila muncul juara acara 200m kuak lentang wanita dengan kelebihan tipis.

Australia turut muncul juara di hadapan England dan Afrika Selatan dalam kedua-dua acara berganti-ganti 4x100m gaya bebas lelaki dan wanita.

Kuartet lelaki Australia yang dibarisi Flynn Southam, Kai Taylor, Harrison Turner dan Kyle Chalmers turut mencipta rekod baharu Sukan Komanwel dengan catatan tiga minit 09.49 saat.

Dengan membantu Afrika Selatan memenangi gangsa pada kuarter terakhir acara berganti-ganti lelaki, Chad le Clos mencipta rekod baharu sebagai atlet lelaki paling banyak memenangi pingat Sukan Komanwel dengan keseluruhan 19 pingat.

Adam Ramsay-Peaty pula mara mudah ke final acara 100m kuak dada lelaki di venue sama yang menyaksikannya memenangi pingat antarabangsa pertama pada Sukan Komanwel 2014.

Pemenang tiga pingat emas Olimpik itu mencatat masa terpantas pada separuh akhir.

Kanada juara gimnastik, insiden Langton curi tumpuan

Kanada memenangi pingat emas acara gimnastik berpasukan lelaki, namun pertandingan itu dibayangi insiden ngeri membabitkan gimnas England, Gabriel Langton.

England berada di kedudukan kedua sebelum giliran terakhir di palang tinggi apabila Langton tergelincir dan terjatuh dengan bahagian kepala terlebih dahulu.

Gimnas berusia 19 tahun itu masih mampu menggerakkan tangan dan kaki sebelum dibawa keluar dengan pengusung, namun pertandingan terpaksa dihentikan selama 20 minit bagi membolehkannya menerima rawatan.

Insiden itu turut membuka laluan kepada Kanada untuk muncul juara, manakala England meraih perak dan Australia mengatasi Scotland bagi memenangi gangsa.

"Ia memang sukar. Kami perlu kembali fokus, mengetepikan apa yang berlaku seketika dan menumpukan perhatian kepada tugas kami. Saya rasa semua orang patut berbangga dengan cara kami meneruskan pertandingan selepas Gabe terjatuh," kata gimnas England, Luke Whitehouse.

Sementara itu, Mark Swan menghadiahkan pingat emas pertama temasya menerusi kategori lightweight powerlifting para selepas mencatat kemenangan dramatik.

Swan menyangka dia sekadar memenangi gangsa selepas gagal pada angkatan terakhir, namun sebenarnya muncul juara mengatasi Roland Ezuruike dari Nigeria menerusi kelebihan paling tipis berdasarkan pekali berat badan.

Swan berjaya mengangkat 222 kilogram, lebih tiga kali ganda berat badannya pada angkatan kedua sebelum berkata: "Saya turun selepas angkatan ketiga dan menyangka saya hanya menang gangsa. Jurulatih saya berkata, 'Tahniah, awak menang emas'. Saya fikir beliau sedang bergurau dengan saya!"

Nigeria menguasai acara powerlifting dengan memenangi tiga pingat emas, termasuk rekod baharu dunia 175kg yang dilakukan Folashade Oluwafemiayo dalam kategori heavyweight. – AFP

Video Terkini

Berita Berkaitan