GLASGOW: Final berpasukan gimnastik lelaki pada Sukan Komanwel 2026 malam tadi terpaksa dihentikan sementara selepas gimnas England, Gabriel Langton mengalami kecederaan serius ketika melakukan rutin di palang tinggi.
Langton, 19, mendarat dalam keadaan tidak sempurna sesudah terlepas daripada palang tinggi sebelum terjatuh dengan bahagian leher terlebih dahulu.
Seramai sembilan petugas perubatan segera memberikan rawatan sebelum dia diusung keluar.
Walaupun terjatuh di bahagian leher, Langton masih mampu menggerakkan kedua-dua tangannya sebagai tanda menghargai tepukan gemuruh penonton ketika dibawa keluar dari gelanggang.
Pertandingan yang sedang menuju kemuncak itu dihentikan selama kira-kira 20 minit sebelum disambung semula, dengan semua gimnas diberi peluang melakukan pemanasan badan sekali lagi.
Sebelum insiden berlaku, England berada di kedudukan pingat perak di belakang Kanada serta hanya mendahului tipis Australia dan Scotland dalam perebutan tempat di podium dengan berbaki satu lagi disiplin terakhir. – AFP
























