BH Online
Ringkasan Berita

Bonnie raih gangsa, apa alasan jurulatih

GLASGOW: Jaguh para powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin sudah memberikan aksi terbaik dalam usahanya mempertahankan pingat emas kategori lightweight lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, kata jurulatihnya, Mohamad Shahibullah Ambi.
Bonnie raih gangsa, apa alasan jurulatih

Jurulatih kebangsaan para powerlifting, Mohamad Shahibullah Ambi. – Foto BERNAMA

GLASGOW: Jaguh para powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin sudah memberikan aksi terbaik dalam usahanya mempertahankan pingat emas kategori lightweight lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, kata jurulatihnya, Mohamad Shahibullah Ambi.

Shahibullah berkata, anak buahnya itu tetap mempamerkan semangat juang tinggi meskipun masih dalam proses mencapai tahap prestasi terbaik selepas pulih daripada kecederaan di bahagian kiri dada.

"Kami terima keputusan hari ini. Pada angkatan ketiga, kami cuba melakukan yang terbaik dengan mencabar angkatan 230 kilogram bagi mendapatkan tempat pertama, tetapi bukan rezeki.

"Bonnie juga baru pulih daripada kecederaan. Setakat ini, Alhamdulillah, dia sudah memberikan yang terbaik. Semangatnya masih tinggi dan dia juga sudah mencuba sebaik mungkin," katanya selepas pertandingan di Scottish Event Campus Armadillo.

Menurutnya, Bonnie mengalami sedikit koyakan pada bahagian tepi dada awal tahun ini dan menjalani proses pemulihan di Institut Sukan Negara.

Beliau berkata, keadaan pemenang emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu semakin baik, namun program latihan masih dilaksanakan secara berhati-hati mengikut tahap keselesaan atlet berkenaan serta nasihat doktor.

Bagaimanapun, proses menurunkan berat badan sepanjang minggu pertandingan bagi memenuhi had kategori lightweight bawah 72kg dipercayai turut menjejaskan tahap tenaga pemenang dua pingat emas Paralimpik itu.

"Dalam tempoh seminggu ini dia menurunkan berat badan dan mungkin itu antara sebab tenaganya berkurangan, tetapi kami terima keputusan ini dan akan berusaha membuat penambahbaikan," katanya.

Pada saingan semalam, Bonnie yang juga juara dunia empat kali mencatat angkatan terbaik 220kg untuk mengumpul 153.5 mata dan meraih pingat gangsa selepas gagal menyempurnakan percubaan terakhir pada bebanan 230kg.

Pingat emas dimenangi atlet England, Mark Swan yang melakukan angkatan 222kg untuk mengumpul 153.9 mata, manakala wakil Nigeria, Roland Ezuruike meraih perak selepas mencatat angkatan 185kg dengan jumlah mata sama. – BERNAMA

Video Terkini

Berita Berkaitan