GLASGOW: Pemain boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple meneruskan rentak cemerlang apabila melepasi halangan kedua dalam saingan perseorangan lelaki Sukan Komanwel Glasgow 2026 di Scottish Event Campus.
Selepas memulakan kempen dengan kemenangan bergaya kelmarin, Izzat sekali lagi mempamerkan aksi meyakinkan apabila menewaskan wakil Malta, Shaun Parnis 1.5-0.5 dalam aksi Kumpulan D.
Kemenangan itu mengukuhkan peluang Izzat, yang membuat penampilan kedua pada temasya Sukan Komanwel, untuk mara ke pusingan seterusnya.
Atlet berusia 44 tahun itu dijadual berdepan Putul Sonowal dari India hari ini sebelum menentang Anwar Hamada dari Kenya esok dan Ryan Bester dari Kanada pada Isnin dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.
Sementara itu, gandingan wanita negara, Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman turut meneruskan prestasi cemerlang apabila mencatat dua kemenangan dalam saingan Kumpulan D acara berpasangan.
Pasangan negara itu menewaskan Sharon Barnes-Kristiane Thorsen dari Kepulauan Falkland 2-0 sebelum mengatasi wakil Jersey, Sara Douglas-Fiona Archibald dengan keputusan sama.
Aleena-Syafiqa akan berdepan pasangan Kepulauan Cook, Fa'Amanatu Vasie Ngatoko-Poila dan Teokotai Rahui Jim, hari ini sebelum menentang Beth Riva-Caroline Brown dari Scotland esok serta wakil Kepulauan Norfolk, Ellie Dixon-Christine Jones, pada Isnin.
Hanya juara setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.
Skuad boling padang negara disasarkan membawa pulang dua pingat tanpa mengira warna pada edisi kali ini. – BERNAMA
























