KUALA LUMPUR: Hasrat jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin untuk mempertahankan gelaran Sukan Komanwel tidak kesampaian apabila sekadar membawa pulang pingat gangsa dalam acara lightweight lelaki di Glasgow 2026, hari ini.
Juara bertahan itu menamatkan saingan di kedudukan ketiga selepas melakukan angkatan terbaik 220 kilogram (kg), sekali gus mengumpul 153.5 mata.
Pingat emas menjadi milik atlet England, Mark Swan yang melakukan angkatan 222kg dengan berat badan 71.5kg untuk mengumpul 153.9 mata, manakala wakil Nigeria, Roland Ezuruike meraih perak selepas mencatat angkatan 185kg dengan berat badan 50.8kg, turut mengumpul 153.9 mata.
Walaupun ketiga-tiga atlet dipisahkan dengan jurang mata yang cukup tipis, kelebihan mata memihak kepada Swan untuk dinobatkan sebagai juara, manakala Bonnie terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tempat ketiga.
Keputusan itu menyaksikan Bonnie gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada edisi Birmingham 2022, namun masih berjaya menghadiahkan pingat buat kontinjen negara menerusi satu lagi persembahan konsisten di pentas Sukan Komanwel.














