MELBOURNE: Perenang Australia yang bertanding di Sukan Komanwel di Glasgow bakal menerima ganjaran sehingga A$50,000 (kira-kira RM143,000) bagi setiap pingat emas individu dimenangi dengan rekod dunia menerusi skim insentif yang dibiayai individu terkaya negara itu, Gina Rinehart.
Bagi acara individu, pemenang pingat emas akan menerima A$20,000 (RM57,000), pingat perak A$15,000 (RM42,000) dan pingat gangsa A$10,000 (RM28,000), manakala perenang acara berganti-ganti pula akan menerima antara A$2,500 (RM7,150) hingga A$5,000 (RM14,300) jika menaiki podium.
Mana-mana perenang yang berjaya memecahkan rekod dunia pula akan menerima bonus tambahan sebanyak A$30,000 (RM85,000).
Sebagai kuasa dominan dalam acara renang di Sukan Komanwel, ramai perenang elit Australia dijangka mampu meraih ganjaran lumayan di Glasgow.
"Ganjaran ini adalah cara Australia mengucapkan terima kasih dan menghargai atlet kita yang membawa kebanggaan serta kejayaan kepada negara," kata Rinehart dalam kenyataan yang dikeluarkan Swimming WA, hari ini.
"Tiada yang lebih membanggakan daripada melihat atlet Australia berdiri di podium sambil bendera negara dinaikkan. Detik seperti ini membangkitkan rasa bangga rakyat Australia dan wajar diraikan."
Pemenang emas Olimpik, Mollie O'Callaghan dijangka menjadi antara penerima terbesar menerusi skim itu apabila muncul pencabar utama dalam acara 100 meter dan 200 meter gaya bebas, selain turut berpeluang memenangi acara 50 meter kuak lentang.
Rinehart bersama syarikatnya, Hancock Prospecting, sudah lama menjadi penyokong utama sukan renang Australia, iaitu antara sukan yang jarang menawarkan ganjaran wang tunai walaupun di peringkat tertinggi.
Badan induk renang dunia, World Aquatics, mengagihkan hadiah wang tunai berjumlah AS$4.38 juta (RM17.9 juta) bagi acara renang tahun lalu, termasuk AS$20,000 (RM81,000) kepada pemenang pingat emas di Kejohanan Dunia di Singapura.
Juara Olimpik dan dunia Australia, Cameron McEvoy, sebelum ini meluahkan kekecewaan kerana tidak menerima sebarang ganjaran selepas mencatat rekod dunia acara 50 meter gaya bebas lelaki di kejohanan di China tahun ini, sedangkan temasya Enhanced Games menawarkan bonus mencecah AS$1 juta (RM4 juta) kepada pemecah rekod dunia.
McEvoy dijangka menjadi pilihan utama untuk memenangi acara 50 meter gaya bebas di Glasgow sekali gus memburu gelaran individu pertamanya di Sukan Komanwel selepas sekadar meraih pingat selain emas pada edisi 2014 dan 2018.
























