BH Online
Ringkasan Berita

Debaran Glasgow 2026 semakin dirasai

KUALA LUMPUR: Bahang Sukan Komanwel Glasgow 2026 semakin dirasai apabila sebahagian besar kontinjen Malaysia sudah selamat tiba di Scotland bagi memulakan persiapan terakhir sebelum turun beraksi, manakala skuad berbasikal trek menjadi pasukan terakhir berlepas hari ini.
Debaran Glasgow 2026 semakin dirasai

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, tumpuan utama kini bukan lagi kepada aspek latihan semata-mata, sebaliknya memastikan setiap atlet kekal cergas, sihat dan bebas daripada kecederaan menjelang hari pertandingan. Foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Bahang Sukan Komanwel Glasgow 2026 semakin dirasai apabila sebahagian besar kontinjen Malaysia sudah selamat tiba di Scotland bagi memulakan persiapan terakhir sebelum turun beraksi, manakala skuad berbasikal trek menjadi pasukan terakhir berlepas hari ini.

Kehadiran atlet lebih awal memberi peluang kepada mereka menyesuaikan diri dengan cuaca, perbezaan waktu dan persekitaran pertandingan, faktor yang dianggap penting dalam memastikan prestasi terbaik dapat dipamerkan sepanjang temasya berlangsung.

Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan atlet negara berada dalam keadaan baik hasil persiapan rapi yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, tumpuan utama kini bukan lagi kepada aspek latihan semata-mata, sebaliknya memastikan setiap atlet kekal cergas, sihat dan bebas daripada kecederaan menjelang hari pertandingan.

Menurutnya, segala persiapan teknikal sudah dilaksanakan dan kini hanya tinggal sentuhan terakhir sebelum atlet memulakan cabaran masing-masing.

"Latihan sudah dilalui dalam tempoh yang agak lama sebagai persiapan menghadapi Sukan Komanwel ini.

"Adalah penting untuk kecergasan mereka berada di tahap terbaik, tahap kesihatan yang baik dan bersedia untuk menghadapi hari acara nanti.

"Nasihat saya kepada mereka, cuba sesuaikan diri secepat mungkin, terutama buat atlet yang tiba pada saat akhir ini," katanya.

Beliau berkata, tempoh penyesuaian itu penting kerana perubahan cuaca dan zon waktu boleh memberi kesan kepada prestasi sekiranya atlet gagal menyesuaikan diri dengan cepat.

Malaysia berharap segala persiapan yang dilakukan sepanjang kem latihan akan diterjemahkan kepada persembahan cemerlang apabila saingan Sukan Komanwel Glasgow 2026 bermula secara rasmi.

Video Terkini

Berita Berkaitan