KUALA LUMPUR: Gandingan boling padang negara, Aleena Ahmad Nawawi dan Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman memulakan kempen Sukan Komanwel dengan langkah cemerlang apabila mudah menewaskan wakil Kepulauan Falkland 2-0 dalam acara berpasangan wanita di Scottish Event Campus (SEC), Glasgow, hari ini.
Gandingan berpengalaman itu hanya memerlukan lebih sejam untuk menundukkan Sharon Barnes dan Kristiane Thorsen, apabila menguasai set pertama 13-0 sebelum melengkapkan kemenangan menerusi keputusan 11-1 pada set kedua sekali gus mengutip mata maksimum dalam aksi pembukaan Kumpulan D.
Keputusan itu membuktikan penguasaan penuh Malaysia apabila Aleena dan Syafiqa hanya melepaskan satu mata sepanjang dua set sembilan end, sambil mengumpul keseluruhan 24 mata.
Kemenangan bergaya itu turut meletakkan Malaysia di tangga teratas Kumpulan D selepas pusingan pertama dengan tiga mata perlawanan, dua set dimenangi dan kelebihan perbezaan mata +23.
Pada usia 32 tahun, Syafiqa mempamerkan aksi tenang dan konsisten sepanjang perlawanan, manakala Aleena, 27, cemerlang meletakkan asas permainan menerusi lontaran pembukaan yang tepat sehingga memberi tekanan berterusan kepada pasangan lawan.
Prestasi meyakinkan itu hadir ketika Malaysia berusaha mengekalkan reputasi sebagai antara kuasa besar boling padang Komanwel.
Sukan itu menjadi antara penyumbang pingat paling konsisten buat negara sejak mencipta kejayaan pertama di Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998, dengan keseluruhan 18 pingat termasuk lima emas.
Format pertandingan di Glasgow 2026 menyaksikan setiap perlawanan dimainkan dalam dua set sembilan end, manakala penentuan tie-break hanya akan diadakan jika kedua-dua pasukan masing-masing memenangi satu set. Namun, Malaysia tidak memberi ruang kepada situasi itu apabila menamatkan perlawanan dalam dua set.
Aleena dan Syafiqa tidak mempunyai banyak masa untuk meraikan kemenangan sulung itu kerana mereka akan kembali beraksi lewat hari ini bagi menghadapi Jersey dalam satu lagi aksi penting Kumpulan D.
Mereka kemudian akan meneruskan saingan peringkat kumpulan dengan menentang Kepulauan Cook esok, tuan rumah Scotland pada Ahad dan Norfolk Island pada Isnin, dengan hanya pasukan terbaik layak ke pusingan kalah mati.
























