KUALA LUMPUR: Jaguh olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly mengakui berada pada tahap terbaik menjelang Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan kini hanya memberi tumpuan untuk mencapai prestasi kemuncak pada temasya itu.
Pemenang dua pingat emas Paralimpik dalam acara lompat jauh T20 itu berkata, keadaan fizikalnya kini berada pada tahap terbaik apabila bebas daripada sebarang kecederaan, sekali gus membolehkannya menjalani latihan tanpa sebarang gangguan.
"Alhamdulillah, sekarang saya memang bebas daripada kecederaan. Memang sasaran saya sekarang adalah untuk mencapai prestasi kemuncak di Sukan Komanwel 2026," katanya yang akan memulakan saingan Isnin ini.
Mengulas peluangnya di Glasgow, Latif menyifatkan musim 2026 sebagai antara yang terbaik dalam kariernya berdasarkan peningkatan prestasi yang dipamerkan sepanjang tahun ini.
Katanya, keyakinannya turut meningkat selepas berjaya mencatat lompatan sejauh 7.76 meter pada penampilan keduanya musim ini di Kejohanan Terbuka Malaysia, sekali gus menjadi petanda positif menjelang cabaran di Glasgow.
"Saya rasa ini memang tahun terbaik buat saya kerana prestasi saya musim ini semakin baik. Pada pertandingan kedua saya di Terbuka Malaysia, saya berjaya mencatat 7.76m. Catatan itu memberikan keyakinan kepada saya untuk melakukan yang lebih baik lagi di Sukan Komanwel nanti.
"Sekiranya berjaya mencapai lompatan itu, ia akan menjadi rekod dunia baharu saya," katanya.
Selain memburu rekod dunia, atlet kelahiran Perlis itu turut memasang misi peribadi untuk melayakkan diri ke Sukan Asia 2026 menerusi kategori normal.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Latif perlu melakukan lompatan sejauh 7.83m, namun berdasarkan prestasi semasa, sasaran berkenaan dilihat berada dalam jangkauan selepas dia mencatat 7.94m pada Kejohanan Olahraga Terbuka Kedah minggu lalu.
























