GLASGOW: Pemain boling padang negara, Izzat Shameer Dzulkeple mengakui masih banyak aspek perlu diperbaiki meskipun memulakan kempen Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan kemenangan dalam aksi Kumpulan D perseorangan lelaki di Scottish Event Campus Centre.
Izzat berkata, dia sedikit gementar ketika turun menentang Cecil Alexander dari Kepulauan Falkland, namun pengalaman itu membantunya menyesuaikan diri dengan suasana pertandingan sekali gus meningkatkan keyakinan untuk aksi seterusnya.
"Alhamdulillah, ia satu permulaan yang agak baik. Walaupun ada sedikit rasa gementar, secara keseluruhan masih banyak perlu diperbaiki.
"Dalam kumpulan saya masih ada tiga lawan yang agak sukar iaitu India, Malta dan Kanada. Hari ini memberi peluang kepada saya merasai suasana pertandingan, jadi mungkin esok saya akan tampil lebih yakin," katanya selepas perlawanan.
Pada aksi pembukaan itu, Izzat bermula langkah kanan apabila menewaskan Alexander 2-0 menerusi kemenangan 10-3, 7-4.

Mengulas aspek yang perlu dipertingkatkan, atlet berusia 44 tahun yang membuat penampilan kedua di Sukan Komanwel itu berkata, dia perlu memperkemaskan strategi balingan terutama mengurangkan balingan yang terlalu pendek.
"Untuk aksi esok (hari ini), saya rasa mungkin bola yang short itu perlu dibaiki dengan kurangkan bola short. Sebab rugilah bola short itu tidak membantu saya mendapatkan mata.
"Jadi esok mungkin perlu lebihkan sedikit bola ke belakang dan lebih fokus pada draw," katanya.
Izzat berkata, dia berpuas hati dengan persembahannya secara keseluruhan, namun menegaskan tahap konsistensi perlu dipertingkatkan bagi mengharungi baki saingan peringkat kumpulan.
Izzat dijadual menentang atlet Malta, Shaun Parnis pada aksi kedua hari ini.
Turut beraksi hari ini gandingan wanita Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman yang akan menentang wakil Kepulauan Falkland dan Jersey dalam saingan Kumpulan D. – BERNAMA
























