BH Online
Ringkasan Berita

Glasgow 2026 dibuka penuh warna-warni

GLASGOW: Sukan Komanwel Glasgow 2026 membuka tirainya secara rasmi wal pagi tadi menerusi upacara pembukaan penuh warna-warni di The Hydro yang mengetengahkan budaya, kreativiti dan semangat rakyat Scotland.
Glasgow 2026 dibuka penuh warna-warni

Atlet dari Malaysia ketika menyertai upacara pembukaan Sukan Komanwel 2026 di The Hydro, Glasgow. – Foto REUTERS

GLASGOW: Sukan Komanwel Glasgow 2026 membuka tirainya secara rasmi wal pagi tadi menerusi upacara pembukaan penuh warna-warni di The Hydro yang mengetengahkan budaya, kreativiti dan semangat rakyat Scotland.

Majlis itu mengalu-alukan kehadiran lebih 3,000 atlet dari 74 negara dan wilayah Komanwel dalam suasana yang meraikan perpaduan menerusi sukan.

Segmen pembukaan berbentuk teater menyaksikan Raja Britain, Raja Charles III dan Raja Permaisuri Camilla muncul dari sebuah TARDIS, kapal angkasa "pengembara masa" yang dipaparkan dalam siri fiksyen sains Doctor Who, bersama legenda berbasikal Britain dan juara Olimpik enam kali, Sir Chris Hoy.

Raja Charles kemudian berkenan merasmikan temasya itu selepas membacakan mesej yang dibawa menerusi King Baton di hadapan atlet, pegawai dan penonton.

Dianjurkan buat julung kali di dalam sebuah arena, upacara pembukaan itu turut mencipta sejarah sebagai yang pertama seumpamanya dalam temasya Sukan Komanwel, selaras dengan visi Glasgow 2026 yang lebih padat dan meletakkan atlet sebagai fokus utama.

bukak24726d
Raja Britain, Raja Charles dan Permaisuri Camilla melangkah keluar dari TARDIS daripada siri televisyen Doctor Who sambil diperhatikan bekas pelumba berbasikal trek, Chris Hoy ketika upacara pembukaan Sukan Komanwel 2026. – Foto REUTERS
bukak24726b
Raja Britain, Raja Charles III berucap ketika upacara pembukaan Sukan Komanwel 2026. – Foto REUTERS

Persembahan pembukaan turut mengetengahkan sejarah perindustrian, budaya dan semangat komuniti Glasgow menerusi gabungan muzik, penceritaan serta persembahan seni, disertai kira-kira 600 sukarelawan dan artis terkenal Scotland termasuk KT Tunstall, Tom Walker, Nina Nesbitt, Callum Beattie, Saint Phnx dan duo folk-elektronik Valtos.

Larian King Baton pula melabuhkan tirainya apabila semua 74 baton dihimpunkan di Glasgow selepas melalui perjalanan paling panjang dalam sejarah temasya itu, sebelum upacara menaikkan bendera Sukan Komanwel dan lafaz ikrar Glasgow 2026.

Pemain boling padang Scotland, Paul Foster dan pemain bola keranjang kerusi roda 3x3 Robyn Love adalah antara individu yang melafazkan ikrar, bersama wakil sukan olahraga dan sukarelawan Sukan Komanwel.

Perarakan masuk kontinjen Malaysia diketuai jaguh lompat jauh para negara dan juara Paralimpik dua kali, Datuk Abdul Latif Romly yang membawa Jalur Gemilang, manakala pemain boling padang nombor satu dunia, Emma Firyana Saroji bertindak sebagai pembawa King Baton Malaysia.

Kira-kira 40 atlet Malaysia mengambil bahagian dalam perbarisan itu dengan mengenakan baju batik berinspirasikan Jalur Gemilang, yang menampilkan motif bunga raya.

bukak24726c
Persembahan oleh penghibur ketika upacara pembukaan Sukan Komanwel 2026. – Foto REUTERS

Malaysia menghantar 59 atlet, termasuk 22 atlet para yang akan beraksi dalam lapan acara sukan pada temasya itu, selain 45 pegawai.

Malaysia menyasarkan lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa menerusi acara angkat berat, berbasikal trek, boling padang, judo, powerlifting para dan olahraga para.

Glasgow menjadi tuan rumah Sukan Komanwel buat kali kedua selepas edisi 2014, dengan temasya kali ini mempertandingkan 10 jenis sukan dan enam sukan para bersepadu di empat venue sehingga 2 Ogos.

Sepuluh jenis sukan yang dipertandingkan adalah bola keranjang 3x3, gimnastik artistik, olahraga, boling padang, tinju, judo, bola jaring, renang, berbasikal trek dan angkat berat, selain enam sukan para bersepadu adalah bola keranjang kerusi roda 3x3, olahraga para, boling padang para, renang para, berbasikal trek para dan powerlifting para.

Pertandingan yang sudah bermula lebih awal adalah acara boling padang dan boling padang para, yang menyaksikan pemain boling padang kebangsaan Izzat Shameer Dzulkeple menjadi atlet pertama negara beraksi dalam acara perseorangan lelaki. – BERNAMA

Video Terkini

Berita Berkaitan