KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia diingatkan bahawa mereka membawa harapan dan aspirasi 34 juta rakyat negara ini ketika memulakan kempen pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Presiden Sukan Komanwel Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menyampaikan amanat semangat kepada atlet dan pegawai negara beberapa jam sebelum upacara pembukaan rasmi temasya di Village Hotel Glasgow, hari ini.
Norza yang juga Presiden Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dan Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara, menyeru atlet supaya tampil dengan keyakinan serta berjuang penuh keberanian.
"Jangan sesekali meragui kemampuan diri atau sebab anda berada di sini mewakili Malaysia. Anda membawa harapan dan aspirasi 34 juta rakyat Malaysia di tanah air.
"Beraksi dengan keberanian dan berjuang dengan penuh maruah," katanya.
Beliau turut mengingatkan atlet negara supaya tidak gentar berdepan lawan apabila turun beraksi.
"Jangan takut kepada pihak lawan apabila melangkah ke gelanggang. Ingat, setiap daripada anda layak berada di sini kerana anda adalah antara wira negara," katanya.
Pertemuan itu menandakan bermulanya kempen rasmi Malaysia pada edisi ke-23 Sukan Komanwel dan turut dihadiri Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz.
Norza memuji kepimpinan Awalan yang berjaya memastikan kontinjen kekal bersatu serta memiliki semangat juang tinggi menjelang temasya.
Malaysia menyasarkan untuk memperbaiki pencapaian pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila menamatkan saingan di tempat ke-10 keseluruhan dengan kutipan tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa.
























