KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Keranjang Putrajaya (PUBA) menganjurkan Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-10 bagi meraikan satu dekad perjalanan persatuan dalam membangunkan sukan bola keranjang di Putrajaya, baru-baru ini.
Bertemakan 'Unity, Passion & Excellence', majlis ini menghimpunkan pemain, jurulatih, pegawai, penaja, rakan strategik serta pemimpin komuniti bola keranjang dalam suasana penuh penghargaan dan kebersamaan.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, termasuk Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock, yang sentiasa memberi sokongan terhadap pembangunan bola keranjang di Putrajaya dan Malaysia.
Sepanjang tempoh 10 tahun penubuhannya, PUBA memainkan peranan penting dalam melahirkan bakat-bakat baharu, memperkukuhkan pembangunan akar umbi, menganjurkan pelbagai kejohanan serta memperluaskan pembabitan masyarakat dalam sukan bola keranjang.
Dalam ucapannya, Presiden PUBA, Mohd Haniff bin Ab Razak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang bersama-sama membina kejayaan persatuan sepanjang sedekad yang lalu.
"Kejayaan PUBA bukanlah hasil usaha individu, tetapi lahir daripada semangat berpasukan, kepercayaan dan komitmen semua pihak. Kami akan terus memperkukuhkan pembangunan pemain, melahirkan lebih ramai jurulatih dan pegawai berkualiti serta menjadikan Putrajaya sebagai antara pusat pembangunan bola keranjang terbaik di negara ini," katanya.
Haniff turut berkongsi aspirasi PUBA bagi tempoh dua tahun akan datang, termasuk memperluaskan program pembangunan akar umbi, memperkukuhkan kerjasama dengan sekolah dan institusi pendidikan, meningkatkan penganjuran kejohanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa serta melahirkan lebih ramai pemain yang mampu mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
Majlis turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada individu dan organisasi yang memberikan sumbangan besar kepada pembangunan bola keranjang di Putrajaya sepanjang 10 tahun yang lalu.
























