BH Online
Ringkasan Berita

Atlet negara sedia gegar Glasgow

KUALA LUMPUR: Atlet negara sudah bersedia sepenuhnya bagi memulakan cabaran pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan persiapan rapi serta semangat juang tinggi menjadi sandaran utama kontinjen Malaysia.
Atlet negara sedia gegar Glasgow

Kontinjen negara akan memulakan perjuangan di Sukan Komanwel esok. - Foto MSN

helmi.talkah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Atlet negara sudah bersedia sepenuhnya bagi memulakan cabaran pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan persiapan rapi serta semangat juang tinggi menjadi sandaran utama kontinjen Malaysia.

Ketua kontinjen Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, beliau berpuas hati dengan persediaan atlet selepas melakukan beberapa siri lawatan ke kem latihan serta bertemu barisan pemain yang bakal membawa cabaran negara di temasya berkenaan.

Menurutnya, momentum positif dalam kalangan atlet sudah mula kelihatan, namun perkara paling penting adalah memastikan mereka mampu mengekalkan prestasi serta tahap kesihatan sehingga hari pertandingan.

"Alhamdulillah, kita bersedia. Sebenarnya atlet kita, setakat mana pencapaian mereka dan prestasi yang sedia ada, saya agak gembira dengan persediaan, kesiapsiagaan serta semangat yang mereka ada untuk menghadapi Sukan Komanwel ini.

"Saya melawat kem mereka dan hari ini saya berjumpa dengan mereka. Saya rasa momentum itu ada. Yang paling penting adalah pada hari kejadian nanti, sama ada ketika kelayakan, separuh akhir ataupun sudah masuk final.

"Itu yang penting dan mereka kena kekalkan kesihatan sehingga ke hari pertandingan," katanya.

Bagaimanapun, Awalan menegaskan aspek disiplin akan menjadi antara perkara utama diberi perhatian sepanjang temasya berlangsung, terutama selepas edisi kali ini tidak menyediakan kemudahan perkampungan sukan.

Justeru, pergerakan atlet sepanjang berada di Glasgow akan dipantau, termasuk jadual keluar masuk ke tempat penginapan, pemakanan serta rutin harian bagi memastikan mereka kekal fokus terhadap persaingan.

Katanya, segala peraturan sudah ditetapkan dengan pengurus pasukan masing-masing memainkan peranan penting dalam memastikan setiap atlet mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

"Memang pihak kita ada buat jadual (keluar masuk hotel) dan ia sudah dimaklumkan kepada pengurus pasukan masing-masing. Atlet sudah tahu pergerakan mereka dan disiplin sudah ditetapkan.

"Dari segi pemakanan juga semuanya sudah ditetapkan, ada jadual makan pagi, tengah hari dan malam. Ada juga sesetengah acara yang berlangsung sepanjang hari, makanan sudah disediakan di venue," katanya.

Pada edisi kali ini, kontinjen Malaysia berdepan cabaran berbeza apabila atlet tidak ditempatkan di satu perkampungan sukan seperti kebiasaan, sebaliknya ditempatkan di tiga hotel berasingan yang memerlukan tahap disiplin lebih tinggi daripada semua pihak.

Majlis Sukan Negara (MSN) meletakkan sasaran lima pingat emas, dua perak dan empat gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 dengan angkat berat, berbasikal, boling padang, judo, powerlifting serta para olahraga menjadi antara sandaran utama negara.

Dalam perkembangan sama, Awalan mengesahkan kontinjen Malaysia akan tampil dengan identiti negara menerusi pemakaian batik pada upacara pembukaan yang dijadualkan berlangsung di arena tertutup The Hydro awal pagi esok.

Katanya, pemilihan batik sebagai pakaian rasmi bukan sahaja mengetengahkan elemen budaya tempatan, malah mencerminkan karakter Malaysia di pentas antarabangsa.

"Pada upacara pembukaan nanti, kita akan pakai baju batik dan ia cantik. Memang akan menonjol kerana ada karakter Malaysia selain warna-warnanya juga menggambarkan negara kita," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan