SHAH ALAM: Polis Selangor memberikan jaminan bahawa keselamatan semua atlet sama ada atlet negeri Selangor atau luar Selangor diberikan perhatian sepanjang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor XXII yang dijangka bermula pertengahan Ogos depan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pasukannya akan bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri supaya segala yang dipersiapkan akan berjalan dengan baik.
"Alhamdulillah, Selangor akan menjadi tuan rumah bagi SUKMA pada kali ini dan bagi tujuan itu, pihak penganjur SUKMA sudah lama berhubung dengan pihak Polis Selangor (berhubung) memberi bantuan dari segi kawalan keselamatan.
"Justeru pada masa ini, secara tepat jumlah (anggota yang ditugaskan) yang terbabit masih belum dapat ditentukan kerana ia masih lagi dalam rangka perancangan keanggotaan yang diperlukan.
"Namun, apa yang boleh saya katakan Polis Selangor akan bersama-sama membantu kerajaan negeri menjayakan SUKMA pada kali ini.
"Dan kita akan memastikan keselamatan atlet-atlet daripada negeri-negeri lain yang datang untuk bersukan di negeri Selangor akan sentiasa terjaga dan terpelihara. Keselamatan mereka adalah terjamin," katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Shazeli menjelaskan, pada ketika ini jumlah sebenar keanggotaan yang akan ditugaskan pada malam pembukaan SUKMA XXII atau sepanjang penganjuran belum diputuskan.
"Kita belum 'finalise' lagi jumlah keanggotaan yang akan terbabit. Insya-Allah, ia akan berjalan dengan baik dan anda selamat dan penuh tenteram," katanya.
Semalam media melaporkan, Dataran Kemerdekaan Shah Alam dipilih sebagai venue bagi acara perasmian pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, manakala majlis penutupan pula akan diadakan di Aneka Walk, Seksyen 14, di sini.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala Para SUKMA 2026 akan diadakan dari 5 hingga 14 September.
Temasya sukan itu mempertandingkan 469 acara daripada 37 jenis sukan, manakala Para SUKMA membabitkan 316 acara merangkumi 10 jenis sukan.
























