BH Online
Ringkasan Berita

VI Premier 10s janjikan persaingan sengit

KUALA LUMPUR: Kejohanan ragbi sekolah berprestij, VI Premier 10s edisi ke-15 dijangka menjanjikan persaingan sengit apabila menghimpunkan 48 pasukan terbaik negara dalam kategori Bawah 15 (B-15) dan Bawah 17 (B-17), bermula 31 Julai hingga 2 Ogos ini.
VI Premier 10s janjikan persaingan sengit

Sidang media VI Premier 10s edisi ke-15 hari ini.

KUALA LUMPUR: Kejohanan ragbi sekolah berprestij, VI Premier 10s edisi ke-15 dijangka menjanjikan persaingan sengit apabila menghimpunkan 48 pasukan terbaik negara dalam kategori Bawah 15 (B-15) dan Bawah 17 (B-17), bermula 31 Julai hingga 2 Ogos ini.

Kejohanan anjuran Victoria Institution Gallados Rugby Club itu bakal berlangsung di Victoria Institution Green dengan penyertaan barisan sekolah ragbi ternama negara yang bersedia menguji kemampuan masing-masing bagi merebut kejuaraan.

Pengerusi VI Premier 10s, Nik Mohd Sidek Nik Jaafar berkata, kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan persaingan antara pasukan terbaik, malah platform penting untuk pemain muda menampilkan bakat di hadapan pencari bakat.

"Kejohanan ini kini diiktiraf setaraf dengan kejohanan utama sekolah lain. Ramai pencari bakat akan hadir dan menilai pemain berpotensi," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran dan undian kejohanan semalam.

Antara pasukan yang bakal mencuri tumpuan termasuk Victoria Institution (VI), Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SEMASHUR), Sekolah Menengah Sains Alam Shah (ASIS), Maktab Tentera Diraja (MTD), St John's Institution (SJI) dan beberapa lagi pasukan terbaik dari seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah Kejohanan, Adri Mustaqim Amrul Hazarin berkata, edisi kali ini tampil dengan beberapa pembaharuan termasuk proses undian terbuka bagi memastikan semua pasukan mempunyai peluang sama rata.

Menurutnya, aspek keselamatan pemain turut diberi perhatian dengan penyediaan doktor kejohanan, ambulans selain mewajibkan penggunaan headgear dan mouthguard sepanjang pertandingan.

"Semua pasukan yang bertanding adalah antara yang terbaik di Malaysia dan saya yakin setiap kumpulan akan menyaksikan saingan cukup kompetitif," katanya.

Selain aksi di padang, VI Premier 10s kali ini turut mengetengahkan konsep karnival menerusi pelbagai aktiviti sampingan, gerai penaja serta siaran langsung membabitkan dua padang pertandingan.

Sejak diperkenalkan 15 tahun lalu, kejohanan itu berjaya melahirkan ramai pemain yang kini mewakili universiti, negeri dan negara di pentas antarabangsa.

Adri Mustaqim berkata, pihaknya turut merancang membawa penyertaan pasukan luar negara pada edisi akan datang bergantung kepada sokongan penaja serta tempoh persediaan lebih panjang.

Video Terkini

Berita Berkaitan