BH Online
Ringkasan Berita

Muhammad Sayat kuasai LCCR edisi sulung

LANGKAWI: Pelari denai kompetitif Asia Tenggara, Muhammad Sayat Jiyabul Houqe, muncul juara kategori Lelaki Terbuka 5 kilometer (km) pada Langkawi Community City Run (LCCR) 2026 yang berlangsung di Pekan Kuah, di sini, malam tadi.
Muhammad Sayat kuasai LCCR edisi sulung

Pelari Myanmar, Muhammad Sayat Jiyabul Houqe menjadi peserta terawal tiba di garisan penamat, sekali gus muncul juara kategori Lelaki Terbuka 5 kilometer (km) pada Langkawi Community City Run (LCCR) 2026. NSTP/HAMZAH OSMAN

LANGKAWI: Pelari denai kompetitif Asia Tenggara, Muhammad Sayat Jiyabul Houqe, muncul juara kategori Lelaki Terbuka 5 kilometer (km) pada Langkawi Community City Run (LCCR) 2026 yang berlangsung di Pekan Kuah, di sini, malam tadi.

Muhammad Sayat yang berasal dari Myanmar berkata, perlumbaan larian bandar lebih mudah diharungi berbanding larian denai kerana laluannya berturap, landai dan tidak mempunyai halangan fizikal seperti bukit atau sungai.

"Saya kerap menyertai larian denai, jadi dalam perlumbaan malam ini saya berlari agak selesa kerana sudah biasa mengharungi laluan yang lebih mencabar.

"Walaupun diadakan pada waktu malam, laluan bandar yang terang dan landai memudahkan saya melihat pesaing. Saya hanya mengekalkan rentak sebelum memecut pada penghujung perlumbaan," katanya ketika ditemui, di sini.

Tempat kedua dimenangi Danial Hatim Syamsul, manakala Mohd Sukri Salim di tempat ketiga.

Bagi kategori Wanita Terbuka, Alia Maisarah Mohd Asrul muncul juara, diikuti Adele Loo Yuen di tempat kedua dan Nur Afia Falisha Abdul Fatah.

Juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing menerima hadiah wang tunai RM300, RM200 dan RM100, manakala peserta yang menduduki tempat keempat hingga ke-10 turut menerima hadiah.

Sementara itu, Pengarah Perlumbaan, Zul Helmi Zainol, berkata LCCR 2026 bukan sekadar acara larian, sebaliknya platform menghimpunkan masyarakat setempat, pelancong, atlet amatur dan pelari profesional.

"Penganjuran edisi sulung LCCR ini disertai 428 pelari bertujuan mempromosikan keindahan Pekan Kuah pada waktu malam, selain memberi pengalaman baharu kepada peserta," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan