BH Online
Ringkasan Berita

McIlroy yakin mampu bangkit di Terbuka British

SOUTHPORT: Rory McIlroy masih yakin mampu bangkit walaupun mencatat dua atas par pada pusingan pembukaan Kejohanan Golf Terbuka British yang menyaksikannya ketinggalan tujuh pukulan di belakang pendahulu.
McIlroy yakin mampu bangkit di Terbuka British

Pemain Ireland Utara, Rory McIlroy beraksi di pusingan pertama Terbuka British di Royal Birkdale, Southport, Britain. - Foto REUTERS

SOUTHPORT: Rory McIlroy masih yakin mampu bangkit walaupun mencatat dua atas par pada pusingan pembukaan Kejohanan Golf Terbuka British yang menyaksikannya ketinggalan tujuh pukulan di belakang pendahulu.

Dalam aksi di Royal Birkdale, juara Masters itu melakukan bogey di kedua-dua lubang par tiga pada sembilan lubang pertama sebelum kehilangan satu lagi pukulan di kedua-dua lubang par lima pada sembilan lubang terakhir, menjadikan keseluruhan enam bogey.

Namun, empat birdie, termasuk satu di lubang terakhir hasil pukulan kedua yang menakjubkan, memastikan impiannya memburu gelaran Terbuka British pertama dalam tempoh 12 tahun masih belum berakhir pada hari pertama.

"Terlalu banyak kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku. Tetapi setiap kali saya melakukan kesilapan, syukurlah saya berjaya membalas dengan birdie untuk terus kekal dalam persaingan.

"Saya masih belum terlalu jauh. Harap-harap keadaan padang esok lebih memihak kepada kami dan permukaan green juga lebih baik pada sesi pagi.

"Saya perlu keluar dan menghasilkan satu pusingan yang baik untuk kembali bersaing menjelang hujung minggu," kata McIlroy.

Pemain dari Ireland Utara itu terlepas tiga putt dari jarak kurang 1.5 meter dan mengakui keyakinannya mula terjejas selepas gagal menyempurnakan peluang di lubang keempat dan ketujuh.

"Saya terlepas beberapa putt pada awal permainan yang saya sangka akan bergerak ke satu arah, tetapi ia sebenarnya bergerak ke arah lain.

"Selepas itu, apabila berdepan putt seterusnya, keyakinan mula hilang dan sukar untuk mempercayai bola akan bergerak seperti yang dijangka

"Akibatnya, anda tidak lagi melakukan pukulan dengan penuh komitmen.

"Sangat sukar untuk bangkit daripada situasi itu dan terus yakin dengan apa yang cuba dilakukan di atas green," katanya.

Bagaimanapun, McIlroy antara pemain yang memulakan permainan pada sesi lewat petang, ketika angin semakin kencang dan keadaan padang menjadi lebih kering selepas kekurangan hujan sejak beberapa minggu lalu.

Keadaan itu dijangka berubah memihak kepadanya hari ini apabila McIlroy bersama Matt Fitzpatrick dan Xander Schauffele, akan memulakan permainan pada sesi pagi.

Video Terkini

Berita Berkaitan