LAS VEGAS: Kepulangan yang dinanti-nantikan Conor McGregor ke pentas UFC berakhir dengan penuh kekecewaan apabila bintang Ireland itu mengalami kecederaan serius pada kaki sekali lagi sebelum tewas menerusi TKO kepada Max Holloway dalam acara utama UFC 329 di Arena T-Mobile, pagi tadi.
Pertarungan kategori welterweight itu dihentikan pada minit 1:09 pusingan pertama selepas McGregor beberapa kali tergelincir sebelum mengalami kecederaan pada kaki kanannya ketika mendarat selepas melakukan sepakan kaki kiri, yang juga sepakan pertamanya dalam pertarungan berkenaan.
Insiden itu menamatkan secara mengejut penampilan pertama McGregor (22-7) di UFC dalam tempoh lima tahun. Pertarungan terakhirnya pada Julai 2021 turut berakhir dengan kecederaan kaki kanan apabila dia patah tulang tibia ketika menentang Dustin Poirier sehingga memaksa doktor menghentikan pertarungan.
Holloway (30-7) mengakui pertarungan itu sebenarnya belum benar-benar bermula dan berharap dapat bertemu semula McGregor apabila lawannya itu pulih sepenuhnya.
"Kita perlu bertarung semula. Sekali lagi. Demi semua peminat," kata Holloway yang jelas kecewa.
McGregor pula terus meninggalkan oktagon tanpa ditemu bual, sekali gus menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai masa depannya menjelang ulang tahunnya yang ke-38 pada Selasa ini.
Dalam acara bersama kategori lightweight, petarung England, Paddy Pimblett, hanya memerlukan 52 saat untuk menewaskan Benoit Saint Denis dari Perancis menerusi kuncian D'Arce.
Pimblett (24-4) mempamerkan aksi cemerlang apabila terlebih dahulu mencuba kuncian guillotine sebelum mengubah posisi dan mengunci Saint Denis (17-4, 1 tanpa keputusan) sehingga memaksanya menyerah kalah.
Sementara itu, pencabar kategori bantamweight, Mario Bautista, mengukuhkan peluang mencabar kejuaraan apabila menewaskan bekas pencabar gelaran, Cory Sandhagen, menerusi keputusan sebulat suara 29-28, 29-28, 29-28.
Bautista (18-3) melengkapkan kemenangan itu dengan menjatuhkan Sandhagen pada pusingan ketiga sekali gus membalas kekalahan dalam penampilan sulungnya di UFC pada 2019. Sandhagen (18-7) dipercayai mengalami kecederaan lutut ketika pertarungan, namun belum disahkan.
Dalam aksi flyweight, Brandon Royval (18-9) bangkit daripada tekanan hebat pada awal pertarungan sebelum menewaskan petarung England, Lone'er Kavanagh (10-2), menerusi kuncian rear-naked choke pada minit 3:40 pusingan ketiga.
Walaupun beberapa kali dijatuhkan dalam pertarungan sengit itu, Royval bangkit pada pusingan terakhir sebelum memaksa lawannya menyerah kalah.
Aksi pembukaan kad utama kategori lightweight pula menyaksikan King Green (36-17-1, 1 tanpa keputusan) menghasilkan antara kebangkitan paling dramatik dalam sejarah UFC apabila menumbangkan Terrance McKinney (18-9) menerusi KO pada saat akhir pusingan pertama.
Selepas berjaya melepaskan diri daripada cengkaman McKinney ketika hanya berbaki beberapa saat, Green melancarkan siri serangan padu termasuk tumbukan kiri, dua sepakan depan dan pukulan ke badan untuk menumbangkan lawannya tepat ketika loceng penamat dibunyikan.
























