BH Online
Ringkasan Berita

Tujuh bekas atlet terima tajaan umrah

KUALA LUMPUR: Seramai tujuh bekas atlet negara dipilih menunaikan ibadah umrah menerusi Program Prihatin Atlet sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan.
Tujuh bekas atlet terima tajaan umrah

Program anjuran Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam dengan kerjasama YAKEB, Ikhlas.com serta sokongan (MAIS itu turut bertujuan memastikan kebajikan bekas atlet terus diberi perhatian selepas persaraan. Foto: YAKEB

KUALA LUMPUR: Seramai tujuh bekas atlet negara dipilih menunaikan ibadah umrah menerusi Program Prihatin Atlet sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka mengharumkan nama Malaysia di pentas sukan.

Program anjuran Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Ikhlas.com serta sokongan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) itu turut bertujuan memastikan kebajikan bekas atlet terus diberi perhatian selepas persaraan.

Empat penerima hadir pada majlis berkenaan semalam, iaitu bekas atlet olahraga, Mohd Sharrulhaizy Abd Rahman; bekas pemanah, Siti Aisah Sudin; bekas pemain bola sepak, Assrof Mohd Hanafiah; dan bekas pelumba permotoran, Muhamad Habibullah Mohd Saleh.

Turut terpilih ialah Mohd Nazuha Mohd Nadzli (sepak takraw), Nurul Shakina Abdullah (renang para) dan Mohd Ar Izwan Anuar (boling padang para).

Majlis itu turut dihadiri beberapa bekas atlet ternama negara, antaranya Datuk Malek Noor, Datuk Subadron Aziz, Datuk Zaiton Othman dan Roslin Hashim sebagai tanda sokongan kepada para penerima.

Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, program itu bukan sekadar membuka peluang kepada bekas atlet menunaikan ibadah umrah, malah menjadi simbol penghargaan terhadap jasa mereka sepanjang mewakili negara.

"Bekas atlet negara pernah mengharumkan nama Malaysia dengan pengorbanan, disiplin dan semangat juang yang tinggi. Apabila mereka bersara, jasa itu tidak sepatutnya terhenti di situ. Program seperti ini membawa mesej bahawa mereka tetap dihargai, diraikan dan tidak dilupakan," katanya.

Beliau berkata, YAKEB melihat kebajikan bekas atlet secara lebih menyeluruh, bukan hanya tertumpu kepada rawatan kesihatan dan bantuan kebajikan, sebaliknya merangkumi sokongan yang memberi nilai kepada kehidupan mereka selepas persaraan.

"Bagi YAKEB, kebajikan bekas atlet bukan hanya soal rawatan atau bantuan ketika berdepan kesukaran. Ia juga tentang bagaimana kita terus menyantuni mereka, membuka ruang penghargaan, memberi sokongan moral, dan memastikan mereka merasakan bahawa pengorbanan mereka kepada negara sentiasa dikenang," katanya.

Menurut Ahmad Shapawi, YAKEB kini memberi penekanan kepada usaha memperkasa kehidupan bekas atlet secara bermaruah, termasuk membantu mereka yang berdepan cabaran kesihatan, tekanan hidup dan kesukaran menyesuaikan diri selepas meninggalkan arena sukan.

Dalam pada itu, YAKEB merakamkan penghargaan kepada Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Ikhlas.com serta MAIS atas komitmen menjayakan program berkenaan.

Menurut YAKEB, kerjasama antara institusi pendidikan, organisasi kebajikan, rakan strategik korporat dan agensi berkaitan perlu diperkukuh bagi memastikan kebajikan bekas atlet terus terbela, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa sumbangan mereka kepada negara tidak berakhir sebaik menamatkan karier sukan.

Program Prihatin Atlet turut memberi peluang kepada mahasiswa UiTM mendekati bekas atlet negara dan memahami realiti kehidupan mereka selepas persaraan, sekali gus menyemai kesedaran mengenai pentingnya jaringan sokongan kepada komuniti sukan negara.

Video Terkini

Berita Berkaitan