BH Online
Ringkasan Berita

YAKEB bantu Shah Nazad teruskan kehidupan

KUALA LUMPUR: Skim Bantuan Khas YAKEB menjadi penyambung harapan buat bekas pelumba basikal negara, Shah Nazad Aman Shah, apabila yayasan itu membantu memulihkan semula enjin bot yang menjadi sumber pendapatan utamanya.
YAKEB bantu Shah Nazad teruskan kehidupan

Shah Nazad bersama Ahmad Shapawi. Foto: YAKEB

KUALA LUMPUR: Skim Bantuan Khas YAKEB menjadi penyambung harapan buat bekas pelumba basikal negara, Shah Nazad Aman Shah, apabila yayasan itu membantu memulihkan semula enjin bot yang menjadi sumber pendapatan utamanya.

Kerosakan enjin sebelum ini menyebabkan operasi perniagaan memancing Shah Nazad terhenti, namun bantuan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) membolehkannya kembali berdikari dan meneruskan usaha mencari rezeki selepas persaraan daripada arena sukan.

Enjin bot yang siap dibaik pulih itu diserahkan di Pelabuhan Klang semalam susulan lawatan Visit&Treat-Skuad YAKEB Prihatin yang sebelum ini turun padang untuk meninjau sendiri keadaan bekas atlet berkenaan.

Bagi Shah Nazad, bot memancing itu bukan sekadar aset perniagaan kecil-kecilan, sebaliknya menjadi sumber pendapatan utama untuk menyara kehidupan.

Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, bantuan berkenaan mencerminkan komitmen yayasan dalam menyantuni bekas atlet negara yang berdepan cabaran selepas persaraan.

Katanya, pendekatan YAKEB bukan hanya memberi bantuan ketika bekas atlet menghadapi kesukaran, tetapi turut membantu memulihkan keupayaan mereka untuk kembali berdikari.

"YAKEB melihat bantuan ini bukan sekadar soal enjin bot yang rosak, tetapi bagaimana kita boleh membantu seorang bekas atlet negara kembali berdikari.

"Apabila bot beliau tidak dapat beroperasi, pendapatan turut terjejas. Jadi YAKEB mengambil pendekatan untuk membantu memulihkan semula punca rezeki beliau supaya boleh kembali bekerja dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Bagi YAKEB, yang lebih penting ialah bantuan seperti ini bukan hanya untuk meringankan kesusahan buat sementara waktu, tetapi benar-benar membantu bekas atlet bangkit semula dan terus berusaha," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Shapawi berkata, keperluan bekas atlet selepas persaraan tidak hanya tertumpu kepada aspek kesihatan dan rawatan perubatan, sebaliknya turut membabitkan kelangsungan hidup, kestabilan pendapatan serta sokongan untuk mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

"Dalam banyak keadaan, ada bekas atlet yang masih kuat berusaha untuk berdikari, sama ada melalui pekerjaan sendiri, perniagaan kecil-kecilan atau pelbagai ikhtiar lain bagi menyara kehidupan.

"Justeru, YAKEB melihat peranannya bukan sekadar menyalurkan bantuan ketika mereka berdepan kesukaran, tetapi juga menilai bentuk sokongan yang mampu menguatkan semula keupayaan mereka untuk bangkit dan meneruskan kehidupan," katanya lagi.

Majlis penyerahan enjin bot itu turut disaksikan bekas jurulatih Shah Nazad, Datuk Ng Joo Ngan, yang juga ahli YAKEB.

Sementara itu, Shah Nazad menzahirkan penghargaan kepada YAKEB atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan pada saat dirinya benar-benar memerlukan bantuan untuk memulihkan semula operasi perniagaannya.

"Saya amat menghargai sokongan YAKEB yang sentiasa mengambil berat tentang nasib bekas atlet, terutamanya ketika kami benar-benar memerlukan bantuan. Bagi saya, sokongan ini bukan sahaja membantu saya untuk kembali mengusahakan perniagaan kecil-kecilan yang saya jalankan, tetapi juga memberi semangat untuk saya terus berusaha dan berdikari," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan