KUALA LUMPUR: Edisi ke-14 saingan ragbi MCKK Premier 7s membuka tirainya semalam apabila enam aksi pembukaan peringkat kumpulan berlangsung penuh sengit di padang bersejarah Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sekali gus menghangatkan saingan merebut Piala NJ Ryan.
Pasukan tuan rumah, MCKK memulakan kempen dengan langkah kanan selepas menewaskan Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah (MOZAC) 24-5 dalam aksi Kumpulan C.

Turut mencatat kemenangan pada hari pertama ialah Kolej Vokasional Arau (KVA) yang menundukkan Sekolah Menengah Sains Machang (SMACH) 26-20.
Selain itu, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) yang menewaskan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (INTEK) 26-5 manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Sirajuddin (SEMSIRA) mengatasi Akademi Ragbi Terengganu (ART) 14-12.
HOSBA pula menewaskan Sekolah Menengah King Edward VII 19-17 manakala Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) mengatasi Royal Military College (RMC) 28-12.
Tumpuan kini beralih kepada aksi hari kedua hari ini yang bakal menyaksikan kemunculan juara bertahan, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), serta pasukan paling berjaya dalam sejarah kejohanan, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), yang masing-masing akan memulakan cabaran memburu kejuaraan.

SSTMI akan membuka kempen Kumpulan A menentang Sekolah Menengah Atas Darunnajah (SMAD) sebelum meneruskan aksi bertemu SMACH dan KVA. D
Dalam Kumpulan B pula, juara bertahan, SSMP bakal memulakan saingan menentang wakil Jepun, Shizuoka Seiko Academy (SSA) sebelum diuji oleh STAR dan INTEK dalam usaha mempertahankan kejuaraan.
Sementara itu, pasukan tuan rumah MCKK akan meneruskan cabaran dalam Kumpulan C apabila dijadual berdepan SMK Presint 11 sebelum aksi yang dijangka sengit menentang Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH) pada sebelah petang bagi memburu slot ke peringkat kalah mati.
























