BH Online
Ringkasan Berita

GS Gill Sports tutup cawangan ikonik di Jalan TAR

KUALA LUMPUR: Peruncit sukan legenda, GS Gill Sports yang wujud sejak sebelum merdeka, akan menutup operasi cawangannya di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan beralih sepenuhnya kepada perniagaan dalam talian.
GS Gill Sports tutup cawangan ikonik di Jalan TAR

GS Gill Sports akan menutup cawangannya di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan beralih ke operasi dalam talian. Foto Media sosial

KUALA LUMPUR: Peruncit sukan legenda, GS Gill Sports yang wujud sejak sebelum merdeka, akan menutup operasi cawangannya di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan beralih sepenuhnya kepada perniagaan dalam talian.

Kedai ikonik di Wisma Harwant itu, antara mercu tanda beli-belah terkenal di ibu negara, telah menjadi sebahagian daripada landskap runcit Kuala Lumpur selama beberapa dekad.

Berita penutupan itu tular di media sosial minggu ini selepas beberapa hantaran di Facebook dan Threads memaklumkan jualan penghabisan stok akan berlangsung sehingga 30 Jun sebelum premis itu ditutup sepenuhnya.

Dalam masa sama, hantaran berkenaan menjelaskan syarikat itu tidak menghentikan operasi, sebaliknya akan meneruskan perniagaan secara digital.

Pengumuman itu mencetuskan gelombang nostalgia dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Di sinilah saya membeli kasut Adidas original sekitar tahun 1979," tulis seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi berkongsi kenangan membeli jersi Piala Dunia Perancis 1998 pada harga RM80, yang menurutnya masih boleh dipakai sehingga kini.

Ramai turut mengingati GS Gill sebagai destinasi dipercayai untuk mendapatkan produk Adidas tulen, jauh sebelum era pembelian dalam talian dan kehadiran peruncit sukan antarabangsa menjadi kebiasaan.

Seorang pengguna Threads menyifatkan GS Gill sebagai jenama yang memperkenalkan Adidas kepada peminat sukan di Malaysia pada era sebelum e-dagang.

Diasaskan oleh Tan Sri GS Gill yang meninggal dunia pada 27 Ogos 2016 pada usia 92 tahun, perniagaan itu bermula sebagai sebuah kedai kecil di Batu Road (kini Jalan Tuanku Abdul Rahman) pada tahun 1946.

Ia kemudian berkembang ke Wisma Harwant 11 tingkat yang dinamakan sempena isterinya.

Pada 1952, GS Gill menjadi pemegang lesen Adidas ketika jenama itu masih di peringkat awal di Eropah.

New Straits Times telah menghubungi syarikat berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penutupan itu.

Video Terkini

Berita Berkaitan