BH Online
Ringkasan Berita

Pelayar negara terus kuasai saingan hari kedua LYSC 2026

LANGKAWI: Pelayar muda negara meneruskan penguasaan pada hari kedua Kejohanan Pelayaran Belia Antarabangsa Langkawi (LYSC) 2026 apabila mengungguli empat kategori utama yang berlangsung di Kompleks Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Kelibang, di sini, hari ini.
Pelayar negara terus kuasai saingan hari kedua LYSC 2026

Sebahagian 262 pelayar muda sedang beraksi pada hari kedua Kejohanan Pelayaran Belia Antarabangsa Langkawi (LYSC) Ke-5 2026 di Langkawi. Foto: NSTP/Hamzah Osman

LANGKAWI: Pelayar muda negara meneruskan penguasaan pada hari kedua Kejohanan Pelayaran Belia Antarabangsa Langkawi (LYSC) 2026 apabila mengungguli empat kategori utama yang berlangsung di Kompleks Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Kelibang, di sini, hari ini.

Prestasi cemerlang itu menyaksikan beberapa pendahulu keseluruhan berjaya mengekalkan kedudukan masing-masing selepas turut menguasai saingan hari pertama semalam.

Dalam kategori Optimist, pelayar Sarawak, Muhammad Yaasin Syahrizan, terus unggul di tangga teratas selepas mengumpul lima mata, diikuti Muhammad Amsha Danish Ruzaki dari Terengganu dengan 18 mata, tempat kedua.

Tempat ketiga milik Nur Ariana Sofea Adzarul Fadzlie dari Pahang yang mengumpul 22 mata.

Bagi kategori INT420 Terbuka, gandingan atlet Terengganu, Muhammad Idris Mohd Zahawi dan Muhammad Nazmi Qusyairi Mohd Nazri, mengekalkan penguasaan dengan enam mata.

Tempat kedua menjadi milik pasangan Kedah, Muhammad Hamka Naufal Mohd Hasrizan dan Muhammad Zikry Zakaria dengan 14 mata, manakala pasangan Terengganu, Nur Asma Balqis Rosli dan Siti Nayli Syahira Mohd Sharulnizan, berada di tempat ketiga selepas mengumpul 17 mata.

Dalam kategori ILCA7, juara bertahan dari Sabah, Muhammad Asnawi Iqbal Adam, terus membuktikan kehebatannya apabila kekal mendahului dengan enam mata.

Tempat kedua disandang Asmadi Azman dari Terengganu dengan 13 mata, diikuti rakan senegerinya, Muhammad Zafir Mohd Zailan, di tempat ketiga selepas mengumpul 14 mata.

Sementara itu, kategori 29er menyaksikan pasangan Sabah, Nor Izniey Humaira Mohd Azri dan Aina Zulaikha Azizul Rahman, mengekalkan kedudukan teratas dengan tujuh mata.

Pasangan Kedah, Muhammad Adam Aierell Mohd Azizol dan Amirul Iqbal Nazham Musmuliadi, menghuni tangga kedua dengan 11 mata, manakala pasangan Hong Kong, Ip Ching dan Hilary Daisy Chan, berada di kedudukan ketiga selepas mengumpul 13 mata.

Kejohanan yang memasuki edisi kelima itu menghimpunkan 262 pelayar muda dari 10 negara dan akan melabuhkan tirainya Ahad ini.

Lebih 100 peserta hadir dari luar negara, mewakili China, Hong Kong, Taiwan, Thailand, Singapura, Myanmar, India, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia selaku tuan rumah.

Video Terkini

Berita Berkaitan