BH Online
Ringkasan Berita

Lebih 260 pelayar muda rebut kejuaraan LYSC

LANGKAWI: Seramai 262 pelayar muda dari 10 negara berkampung di pulau legenda ini bagi menyertai Kejohanan Pelayaran Belia Antarabangsa Langkawi (LYSC) 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini.
Lebih 260 pelayar muda rebut kejuaraan LYSC

Sebahagian 262 pelayar muda sedang beraksi dalam Kejohanan Pelayaran Belia Antarabangsa Langkawi (LYSC) Ke-5 2026 di Langkawi. Foto: NSTP/Hamzah Osman

LANGKAWI: Seramai 262 pelayar muda dari 10 negara berkampung di pulau legenda ini bagi menyertai Kejohanan Pelayaran Belia Antarabangsa Langkawi (LYSC) 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini.

Kejohanan berlangsung di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan di Kelibang, di sini.

Pengarah kejohanan, Mohd Afendy Abdullah, berkata, edisi kali ini mencatat penyertaan paling memberangsangkan apabila lebih 100 atlet dari luar negara mengambil bahagian sekali gus mengukuhkan reputasi kejohanan itu di rantau Asia.

Katanya, 10 negara yang menyertai kejohanan itu ialah China, Hong Kong, Taiwan, Thailand, Singapura, Myanmar, India, Jepun, Korea Selatan dan Malaysia selaku tuan rumah.

"Selain menjadi medan persaingan, kejohanan kali ini amat penting bagi atlet negara dalam kelas INT420, 29er dan ILCA4 kerana ia akan diambil kira sebagai antara kriteria pemilihan ke Sukan Asia 2026 di Jepun, September ini.

"Setakat ini atlet negara bagi kelas berkenaan masih belum melepasi had kelayakan, justeru kejohanan ini menjadi platform terbaik untuk mereka meningkatkan pencapaian," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Afendy berkata, kejohanan tahun ini mempertandingkan beberapa kelas utama iaitu Optimist, Hansa 2.3, ILCA, BIC Techno, INT420 dan 29er.

Katany, peningkatan penyertaan antarabangsa turut didorong status Langkawi sebagai tuan rumah acara pelayaran bagi Sukan SEA tahun depan.

"Keadaan itu mendorong banyak negara, khususnya dari ASEAN, memilih Langkawi sebagai lokasi latihan serta penyesuaian awal terhadap venue pertandingan sebenar," katanya.

Mengulas peluang atlet negara, Mohd Afendy yakin Malaysia mampu memberi saingan sengit dan berpotensi menguasai empat kategori utama iaitu Optimist, Hansa 2.3, ILCA7, INT420 dan 29er.

Malaysia menguasai tiga kedudukan teratas kategori 29er pada hari pertama apabila pasangan Nor Izniey Humaira Mohd Azri dan Aina Zulaikha Azizul Rahman mendahului carta dengan empat mata.

Gandingan Mohamad Hazmi Suwandy dan Alif Nur Amzi berada di tangga kedua dengan lima mata, diikuti Mohd Azizol Amirul Iqbal dan Nazham Musmuliadi di tempat ketiga.

Video Terkini

Berita Berkaitan