KUALA LUMPUR: Pengarah teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley, akhirnya hilang sabar dan membuka mulut bagi membongkar kepincangan serta kelemahan ketara dalam kepimpinan organisasi sukan tersebut yang disifatkannya kini semakin berada 'di luar kawalan'.
Menerusi luahannya di Facebook, pakar kejurulatihan dari Australia itu secara terbuka mempersoalkan kredibiliti dan bidang kuasa mutlak pihak pengurusan tertinggi dalam menguruskan konflik dalaman yang telah lama berlarutan sehingga menjejaskan ekosistem sukan berbasikal negara.
Beasley yang nyata kecewa dengan apa yang berlaku di belakang tabir mengemukakan dua persoalan besar yang disifatkannya sebagai punca sebenar yang gagal ditangani pihak pengurusan sukan terbabit.
"Jika persekutuan tidak mempunyai kuasa untuk mengurus atau mengawal jurulatih MSN (Majlis Sukan Negara) negeri, maka siapa yang melakukannya?
"Jika isu dicipta oleh jurulatih program MSN negeri, siapakah yang mempunyai tanggungjawab dan kuasa untuk menyelesaikan isu-isu tersebut? Inilah soalan sebenar yang perlu ditanya dan ditangani dengan betul," tegasnya.
Menurut Beasley, krisis yang melanda skuad berbasikal negara ketika ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh dan sepatutnya sudah lama diselesaikan jika pihak pengurusan tidak bersikap acuh tak acuh.
"Realitinya ialah situasi ini boleh dan sepatutnya telah diselesaikan sejak lama dahulu. Malangnya, isu-isu asas tidak pernah ditangani dengan secukupnya, dan sekarang kita mendapati diri kita berada dalam kedudukan yang sangat sukar," katanya.
Beliau turut meluahkan rasa terkilan apabila kemelut pengurusan itu akhirnya mengheret anak didiknya yang juga jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, untuk mempertahankan dirinya secara terbuka di media sosial.
Bagi Beasley, situasi itu amat dikesalkan kerana seorang legenda sukan yang telah banyak berkorban untuk negara sama sekali tidak sepatutnya diletakkan dalam kedudukan yang sukar demi melindunginya daripada serangan pihak tertentu.
"Seorang atlet dan legenda sukan yang sudah mendedikasikan begitu banyak hidupnya untuk mewakili dan menghormati negaranya tidak sepatutnya merasakan keperluan untuk mempertahankan jurulatihnya secara terbuka.
"Azizul berasa terpaksa untuk melindungi saya, dan walaupun saya amat tersentuh dengan kesetiaan dan persahabatannya, saya juga tahu bahawa dia mungkin menghadapi kritikan kerana berbuat demikian," jelasnya yang berdiri teguh di samping setiap komen yang dikeluarkan oleh Azizulhasni sebelum ini.
Selain itu, kekecewaan Beasley bertambah parah memandangkan gangguan luar seperti ini timbul pada waktu yang amat kritikal ketika fokus sepatutnya diberikan 100 peratus kepada persediaan atlet menjelang Temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia.
























