SEREMBAN: Puan Sri Najatul Haya Razali dinobatkan juara keseluruhan Kejohanan Golf Piala Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan 2026, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, hari ini.
Kejohanan yang berlangsung di Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC), Paroi, itu disertai 100 pemain amatur tempatan.
Najatul Haya yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) dan memiliki lapan handikap turut memenangi kategori Gross selepas mengumpul 79 mata untuk meninggalkan pencabar lain pada kejohanan tahunan anjuran SIGC itu.
"Saya tidak menyangka mampu muncul juara kerana saingan amat mencabar dari peserta lain yang berpengalaman selain faktor cuaca yang boleh menggangu tumpuan.
"Namun begitu, saya sangat gembira kerana dapat menghadapi cabaran dengan tenang dengan setiap pukulan tampak menjadi hari ini.
"Pengalaman penyertaan dalam beberapa kejohanan peringkat SIGC sebelum ini banyak membantu persembahan dan saya manfaatkannya sebaik mungkin untuk meletakkan bola pada posisi terbaik untuk memenangi saingan," kata Najatul Haya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah yang disampaikan Tuanku Aishah Rohani.
Najatul Haya yang aktif dalam sukan golf sejak lima tahun lalu juga adalah juara Kejohanan SIGC 2025 dan berhasrat untuk terus cergas dalam sukan kegemarannya itu.
"Alhamdulillah, Tuhan bagi rezeki kali ini dan sesungguhnya ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus berusaha meningkatkan permainan," katanya yang berada di tempat keempat pada kejohanan sama edisi tahun 2025.
Kategori Nett menjadi milik Chia Yau Sven selepas meraih 69 mata.
Juara setiap kategori membawa pulang trofi dan hadiah iringan berupa barangan elektrik dan hamper.
Pengurus SIGC, Mohd Yunus Ismail berkata, kejohanan yang bermula 2012 itu menerima penyertaan luar dugaan dari kalangan pemain amatur tempatan.
Menurutnya, kejohanan kali ini turut menawarkan hadiah pukulan selubang selain hadiah berupa barangan elektrik dan elektronik melalui sokongan serta tajaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sekali gus menjadi pembakar semangat kepada setiap pemain.
"Selain menyemarakkan aktiviti sukan golf tempatan kejohanan juga bertujuan merapatkan hubungan silaturahim antara pemain dan galakan kepada pemain muda menyertai sukan ini," kata Mohd Yunus.
























