BH Online
Ringkasan Berita

Ombak besar tidak halang Aiman tawan LSF 2026

LANGKAWI: Perenang Maldives, Aiman Moosa Rasheed, mengungguli kategori renang terbuka 8 kilometer (km) pada Pesta Renang Langkawi 2026 (LSF 2026) di Dataran Tanjung Rhu, di sini, hari ini.
Ombak besar tidak halang Aiman tawan LSF 2026

Perenang Maldives, Aiman Moosa Rasheed ceria selepas muncul juara kategori renang terbuka 8km pada Pesta Renang Langkawi 2026 di Dataran Tanjung Rhu, Langkawi. Foto: NSTP/Hamzah Osman

LANGKAWI: Perenang Maldives, Aiman Moosa Rasheed, mengungguli kategori renang terbuka 8 kilometer (km) pada Pesta Renang Langkawi 2026 (LSF 2026) di Dataran Tanjung Rhu, di sini, hari ini.

Catatan masa dua jam 43 minit empat saat (s) sudah memadai buatnya menewaskan 47 pencabar lain sekali gus muncul juara kategori itu yang turut disertai beberapa perenang berpengalaman.

Aiman berkata, kemenangan itu bukan diperoleh dengan mudah apabila terpaksa mengerah kudrat sepenuhnya berdepan ombak tinggi dan arus deras sepanjang perlumbaan.

Menurutnya, keadaan laut yang tidak menentu menjadikan saingan kali ini antara paling mencabar pernah dihadapinya sepanjang menyertai acara renang terbuka.

"Peserta perlu sentiasa fokus dan mengatur strategi renangan dengan baik kerana ombak dan arus kuat boleh menjejaskan rentak serta penggunaan tenaga.

"Saya pernah menyertai kejohanan ini tahun lalu dalam kategori terbuka 4km dan muncul juara, namun perlumbaan 8km kali ini jauh lebih mencabar kerana keadaan laut yang agak sukar," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Tempat kedua dimenangi perenang Perancis, Serge Dominichini dengan catatan masa tiga jam dua minit 42 saat, manakala wakil Afrika Selatan, Kim Anderson, menduduki tempat ketiga dengan masa tiga jam 20 minit 23 saat.

LSF 2026 menghimpunkan 317 peserta dari lapan negara iaitu Maldives, Afrika Selatan, Perancis, New Zealand, Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura dan Malaysia.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu renang terbuka 8km yang disertai 48 peserta, 4km (80 peserta), 2km (67 peserta), 1km (55 peserta) dan 400 meter kategori remaja membabitkan 67 peserta.

Video Terkini

Berita Berkaitan