KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) mengesahkan insiden kontroversi membabitkan pasukan Thailand yang meninggalkan gelanggang ketika aksi final acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 kini dirujuk kepada badan disiplin berkaitan untuk siasatan lanjut.
Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, ISTAF memaklumkan tindakan susulan itu diambil kerana kes berkenaan membabitkan aspek disiplin pertandingan serta kelakuan pegawai dan pemain dalam aksi final bertaraf antarabangsa.
Menurut badan induk dunia itu, keputusan untuk merujuk kes berkenaan dibuat selepas meneliti insiden yang berlaku pada peringkat kritikal regu ketiga final antara Malaysia dan Thailand di Stadium Titiwangsa, semalam.
"Kes ini telah dirujuk kepada badan disiplin yang berkaitan untuk semakan lanjut," menurut kenyataan berkenaan.
Kontroversi tercetus ketika perlawanan berada di penghujung aksi apabila pengadil perlawanan mengesan kesalahan pemain Thailand yang melepasi garisan tengah gelanggang ketika melakukan libasan.
Keputusan itu dibuat berdasarkan Undang-Undang Permainan ISTAF sebelum mata berkenaan diberikan kepada Malaysia.
Thailand kemudian meminta semakan menerusi sistem cabaran, namun pengadil memaklumkan kesalahan garisan tengah tidak termasuk dalam kategori yang boleh dirujuk melalui prosedur semakan sedia ada.
ISTAF menjelaskan pegawai perlawanan sudah memberikan beberapa penerangan dan nasihat kepada pasukan Thailand berhubung perkara itu, namun pasukan berkenaan tetap enggan meneruskan perlawanan.
Menurut badan itu, Thailand juga gagal kembali ke gelanggang dalam tempoh masa yang dibenarkan mengikut peraturan pertandingan.
"Sehubungan itu, berdasarkan Buku Panduan Teknikal ISTAF dan peraturan pertandingan, pengadil perlawanan mengisytiharkan perlawanan itu kalah tanpa bertanding sebelum kemenangan diberikan kepada Malaysia," kata kenyataan itu.
























