KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih sepak takraw kebangsaan, Ahmad Jais Baharun mengakui beliau tidak berpuas hati dengan cara Malaysia meraih gelaran juara acara berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2026 meskipun skuad negara berjaya menewaskan Thailand dalam aksi final yang dicemari kontroversi di Stadium Titiwangsa.
Menurut Ahmad Jais, beliau lebih gemar melihat perlawanan ditentukan sepenuhnya di dalam gelanggang berbanding berakhir dengan situasi yang menyaksikan Thailand meninggalkan gelanggang selepas membantah keputusan pengadil.
"Bagi saya secara peribadi, memang kita tidak berpuas hati dengan kemenangan sebegini. Namun dah rezeki pasukan kita untuk mencipta kejayaan dalam situasi sebegini dan kita terima keputusan ini," kata Ahmad Jais.
Kontroversi tercetus ketika regu ketiga final berada di kemuncak dramatik apabila Thailand mendahului 14-13 sebelum pengadil menghadiahkan mata kepada Malaysia selepas mendapati pemain lawan melakukan kesalahan apabila kaki melepasi garisan bawah jaring ketika melakukan libasan.
Keputusan itu bagaimanapun mencetus rasa tidak puas hati kem Thailand yang kemudian enggan meneruskan baki perlawanan walaupun diberikan masa untuk kembali ke gelanggang.
Ahmad Jais berkata, berdasarkan rakaman video, kesalahan yang dilakukan pemain Thailand sememangnya jelas dan keputusan pengadil wajar dihormati oleh semua pihak.
"Mungkin mereka tidak puas hati dengan keputusan pengadil. Namun kalau kita tengok daripada video rujukan, memang ternyata kaki pemain Thailand melepasi jaring bawah.
"Bagi saya apa yang berlaku itu semuanya keputusan pengadil dan kita perlu menerima dengan hati terbuka apa jua keputusan yang telah dimuktamadkan," katanya.
Beliau turut berpandangan pasukan Thailand sepatutnya meneruskan perlawanan sehingga tamat meskipun tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan.
"Pengadil sudah memberikan masa untuk mereka kembali ke gelanggang, namun mereka memilih untuk tidak meneruskan perlawanan.
"Bagi saya mereka perlu bersikap profesional untuk meneruskan perlawanan pada baki beberapa mata lagi," tambahnya.
Ahmad Jais turut mengakui insiden berkenaan menyebabkan Malaysia tidak dapat menamatkan perlawanan dengan cara yang lebih memuaskan walaupun akhirnya dinobatkan sebagai juara.
"Sebenarnya peluang untuk perlawanan itu masih terbuka dan sekiranya insiden itu tidak berlaku, pasukan negara akan berdepan cabaran yang besar.
"Belum tentu kita boleh menjadi juara pada malam itu, tetapi apa yang dilakukan pasukan Thailand akhirnya menjadi kerugian kepada mereka," katanya.
Walaupun kurang senang dengan cara kemenangan itu diperoleh, Ahmad Jais tetap memuji komitmen dan semangat juang dipamerkan anak buahnya sepanjang kejohanan.
Katanya, kejayaan menjulang dua gelaran iaitu acara kuadran dan acara berpasukan membuktikan kerja keras pemain membuahkan hasil.
"Kita perlu meraikan pemain-pemain yang sudah berusaha bersungguh-sungguh, berlatih dengan penuh komitmen dan menunjukkan semangat juang yang tinggi.
"Alhamdulillah, kita berjaya menunaikan tugas sebagai juara acara kuadran dan juga acara berpasukan pada edisi kali ini," katanya.
























