BH Online
Ringkasan Berita

Apit kiri negara cerita situasi sebenar

KUALA LUMPUR: Apit kiri negara, Amirul Zazwan Amir tampil menjelaskan situasi sebenar yang berlaku dalam aksi final dramatik Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2026 selepas Thailand bertindak meninggalkan gelanggang susulan kontroversi keputusan pengadil di Stadium Titiwangsa, semalam.
Apit kiri negara cerita situasi sebenar

Pasukan Thailand bertindak meninggalkan gelanggang disebabkan kontroversi yang berlaku ketika menentang skuad negara dalam acara akhir regu berpasukan pada Kejuaraan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa malam tadi. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Apit kiri negara, Amirul Zazwan Amir tampil menjelaskan situasi sebenar yang berlaku dalam aksi final dramatik Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2026 selepas Thailand bertindak meninggalkan gelanggang susulan kontroversi keputusan pengadil di Stadium Titiwangsa, semalam.

Situasi tegang itu tercetus ketika Thailand berada di ambang kemenangan set kedua dengan mendahului 14-13 sebelum pengadil dari Singapura, Mohd Radhi Che Mei menghadiahkan mata kepada Malaysia selepas mendapati pemain Thailand melakukan kesalahan kaki melebihi garisan gelanggang ketika melakukan libasan.

Menurut Amirul Zazwan, beliau dan rakan sepasukan hanya mengikut arahan jurulatih serta keputusan pengadil ketika insiden itu berlaku pada penghujung regu penentuan.

Katanya, kekeliruan tercetus apabila pengadil bawah pada awalnya memutuskan perlawanan sudah tamat sebelum pengadil atas mengarahkan permainan diteruskan selepas Thailand cuba membuat bantahan.

"Keputusan daripada pengadil bawah dia kata okey, habis perlawanan itu. Jadi saya kata okey, tak ada masalah kita tukar gelanggang.

"Tapi pengadil atas kata keputusan itu tak boleh dicabar. Jadi dia suruh kita patah balik. Saya pun tak tahu macam mana saya nak buat, jadi saya kena dengarlah jurulatih cakap kena patah balik," kata Amirul Zazwan.

Mengulas reaksi pasukan Thailand selepas insiden itu, Amirul Zazwan mengakui lawan mereka berada dalam keadaan kecewa namun memilih untuk menghormati keputusan rasmi perlawanan.

"Saya sebagai pemain, saya tak tahu nak komen apa. Tapi mereka ada sedikit kecewa.

"Tapi saya sebagai pemain kena ikut apa yang jurulatih cakap. Kalau ikutkan hati, saya boleh saja berlawan dengan mereka, tak ada masalah," katanya.

Pada masa sama, Amirul Zazwan menyifatkan kejayaan menjulang Piala Dunia kali ini cukup bermakna selepas pernah melalui kekecewaan pada edisi 2024.

Katanya, kejayaan itu menjadi bukti kebangkitan skuad negara selepas turut memenangi pingat emas Sukan SEA sebelum ini.

"Ya, sebab kita dah menang dua kali, satu Sukan SEA dan satu Piala Dunia. Jadi satu sejarah untuk pasukan sepak takraw.

"Saya rasa saya gagal masa 2024, tapi hari ini saya dapat memberikan kemenangan kepada negara. Alhamdulillah," tambahnya.

Beliau turut percaya kejayaan itu mampu menjadi pembakar semangat buat skuad negara menjelang Kejohanan Piala Raja Thai dan Sukan Asia selepas ini.

Video Terkini

Berita Berkaitan