BH Online
Ringkasan Berita

Insentif RM383,116 bakar semangat atlet Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini menyampaikan insentif kemenangan sukan berjumlah RM383,116 kepada seramai 57 atlet Sabah yang memenangi pingat pada Sukan SEA dan Para ASEAN di Thailand, tahun lalu.
Insentif RM383,116 bakar semangat atlet Sabah

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (dua kiri) menyampaikan insentif kemenangan kepada atlet Para ASEAN Ke-13, Abdul Halim Mohammad di Kota Kinabalu. Foto: Jabatan Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini menyampaikan insentif kemenangan sukan berjumlah RM383,116 kepada seramai 57 atlet Sabah yang memenangi pingat pada Sukan SEA dan Para ASEAN di Thailand, tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM146,500 adalah insentif kemenangan bagi Sukan SEA manakala RM236,616 insentif kemenangan kepada atlet Para ASEAN.

Pada kejohanan Sukan SEA Thailand, 91 atlet dari Sabah mewakili negara dan membantu kontinjen Malaysia memenangi lima pingat emas, 14 perak dan 11 gangsa.

Bagi temasya sukan Para ASEAN pula, seramai 22 atlet para Sabah terpilih dan berjaya membawa pulang kejayaan besar untuk negara dengan 14 pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa.

Insentif kemenangan sukan itu disampaikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis penyampaian insentif kemenangan di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Hajiji menzahirkan harapan supaya insentif itu menjadi pembakar semangat untuk atlet Sabah terus melangkah lebih jauh bagi mencapai tahap yang lebih tinggi.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada kerja keras jurulatih dan sokongan keluarga atlet yang disifatkannya sebagai tunjang kejayaan mereka.

"Kerajaan negeri sangat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh kesemua atlet negeri Sabah yang mengambil bahagian dan mencipta kemenangan pingat pada Temasya Sukan SEA dan Para ASEAN di Thailand.

"Kerajaan Sabah juga berbangga dengan pencapaian cemerlang dua atlet Para yang menjadi tonggak pungutan pingat kita ketika Para ASEAN baru-baru ini iaitu perenang Abdul Halim Mohammad dan atlet olahraga, Ivan Jovic Suan secara kebetulan kedua-duanya berasal dari Tuaran," katanya.

Pada kejohanan Para ASEAN itu, Abdul Halim memenangi lima pingat emas dalam acara individu dengan empat rekod baharu, selain satu pingat perak dan satu gangsa menerusi acara berpasukan.

Abdul Halim yang sebelum ini turut diangkat sebagai Atlet Lelaki Terbaik Malaysia ketika Para ASEAN 2025 oleh Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) adalah penerima insentif terbesar pada hari ini.

Bagi Ivan pula, kejayaan memenangi tiga pingat emas dengan satu rekod baharu adalah satu kejutan besar dalam acara pecut di peringkat Asia Tenggara kerana usianya yang baru 18 tahun.

Video Terkini

Berita Berkaitan