KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 yang berlangsung pagi ini.
Kejayaan berkenaan sekali gus menyaksikan mereka mencipta satu lagi sejarah sebagai pasangan beregu campuran pertama mengungguli anugerah berprestij itu.
Lebih manis, anugerah itu diraih pasangan terbabit dalam tempoh tujuh hari selepas dinobatkan sebagai Atlet Terbaik pada Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS, Rabu lalu.
Tang Jie-Ee Wei melakar pencapaian membanggakan tahun lalu apabila mencipta sejarah sebagai beregu campuran pertama negara menjuarai Kejohanan Dunia selain turut menjuarai Terbuka Australia dan muncul naib juara Masters China.
Tang Jie mengatasi cabaran empat calon lain termasuk atlet wushu, Si Shin Peng, Muhammad Khairi Abib Azhar (pencak silat), Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling) dan Abdul Aziz Ahmad (bina badan).
Ee Wei pula mengetepikan saingan ratu wushu Tan Cheong Min dan Pang Pui Yee, Emma Firyana Saroji (boling padang) dan Natasha Mohamed Roslan (tenpin boling).
Anugerah Olahragawan Paralimpik dimenangi atlet para berbasikal, Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin yang mengatasi pemenang 2024 dan 2023 yang juga jaguh para powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dan ikon para olahraga negara, Datuk Abdul Latif Romly.
Atlet para renang, Lim Carmen pula mengatasi cabaran Jariah Zakaria (para boling padang) dan Parameswary Kashinathan (para menembak) untuk bergelar Olahragawati Paralimpik.
ASN 2025 berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN) dengan penyampaian hadiah disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemenang bagi Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan serta Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan menerima sebuah piala, piala iringan, sijil penghargaan serta hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.
Kategori lain menyaksikan skuad sepak takraw merangkul Anugerah Pasukan Lelaki, manakala Anugerah Pasukan Wanita dimenangi pasukan wushu.
ANUGERAH SUKAN NEGARA 2024
Olahragawan:
Chen Tang Jie (badminton)
Olahragawati:
Toh Ee Wei (badminton)
Olahragawan Para:
Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin (berbasikal)
Olahragawati Para:
Lim Carmen (renang)
Pasukan Lelaki:
Sepak takraw berpasukan lelaki
Pasukan Wanita:
Wushu
Jurulatih Lelaki:
Ahmad Jais Baharun (sepak takraw)
Jurulatih Wanita:
Nor Hamizah Abu Hassan (pencak silat)
Anugerah Kepimpinan Sukan:
Datuk Mohd Sumali Reduan
Anugerah Khas:
Allahyarham Datuk Hishamuddin Aun
Kelab Renang Ikan Bilis
Petronas
























