BH Online
Ringkasan Berita

Dharma Raj dinobat jurulatih terbaik Indonesia

KUALA LUMPUR: Bekas ketua jurulatih skuad hoki lelaki dan wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah terus mencipta nama di pentas antarabangsa apabila dinobatkan selaku Jurulatih Terbaik Indonesia dalam satu majlis The Game Changer Award anjuran Jawatankuasa Olimpik Indonesia, hari ini.
Dharma Raj dinobat jurulatih terbaik Indonesia

Dharma Raj dinobat jurulatih terbaik Indonesia. - Foto FIH

KUALA LUMPUR: Bekas ketua jurulatih skuad hoki lelaki dan wanita negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah terus mencipta nama di pentas antarabangsa apabila dinobatkan selaku Jurulatih Terbaik Indonesia dalam satu majlis The Game Changer Award anjuran Jawatankuasa Olimpik Indonesia, hari ini.

Dharma Raj yang kini bertindak selaku pengarah teknikal hoki kebangsaan Indonesia berkongsi detik membanggakan itu menerusi akaun media sosial miliknya.

"Jurulatih terbaik Indonesia 2026," tulisnya ringkas sambil dihujani ucapan tahniah daripada pengikut dan peminat sukan hoki serantau.

Kejayaan itu turut dikongsikan akaun rasmi Federasi Hoki Indonesia (FHI) yang memuji sumbangan besar pengendali kelahiran Malaysia itu terhadap pembangunan hoki republik berkenaan.

"Jawatankuasa Olimpik Indonesia pada majlis penghargaan buat warga sukan di Indonesia dan jurulatih Dharma Raj menerima anugerah Jurulatih Terbaik.

"Tahniah kepada Dharma Raj atas pengiktirafan yang diterima dan terima kasih atas dedikasi beliau terhadap sukan hoki Indonesia," tulis FHI di Facebook.

Dharma Raj dilantik sebagai pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia pada Mac 2021 dan sejak itu prestasi hoki negara jiran berkenaan meningkat secara mendadak.

Antara kejayaan terbesar dicatatnya adalah membantu skuad hoki dalam dewan lelaki Indonesia mencipta sejarah memenangi pingat emas pertama di Sukan SEA Kemboja 2023 selepas menewaskan Malaysia di pentas final.

Beliau kemudian sekali lagi membimbing Indonesia mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA Thailand 2025, sekali gus terus mengekalkan dominasi mereka dengan turut menewaskan Malaysia.

Sebelum mencipta nama di Indonesia, Dharma Raj terlebih dahulu dikenali sebagai antara jurulatih terbaik negara ketika membimbing skuad wanita kebangsaan, Malaysian Tigress.

Antara pencapaian terbaik beliau bersama Malaysia adalah menghadiahkan pingat emas buat skuad wanita negara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selain membantu pasukan muncul naib juara Pusingan Kedua Liga Hoki Wanita Dunia.

Malah, Dharma Raj juga pernah mencuri perhatian dunia hoki apabila membimbing skuad hoki remaja lelaki negara meraih tempat keempat pada Piala Dunia Remaja 2013, pencapaian terbaik Malaysia di pentas itu.

Video Terkini

Berita Berkaitan