SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencadangkan penganjuran Sukan Malaysia XXII (SUKMA) Selangor 2026 ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
Sultan Sharafuddin bertitah, ini berikutan penganjuran temasya sukan oleh negeri Selangor itu memerlukan peruntukan yang sangat tinggi.
"Dalam keadaan ekonomi semasa, beta berpandangan bahawa adalah lebih wajar penganjuran itu ditangguhkan sehingga krisis di Asia Barat selesai dan sehingga Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.
"Dalam masa yang sama, beta juga menitahkan agar penganjuran Piala Sultan Selangor bagi perlawanan bola sepak tahunan antara Selangor dan Singapura bagi tahun 2026 dibatalkan.
"Bagaimanapun, beta berkenan agar satu kejohanan bola sepak Piala Jubli Perak dianjurkan membabitkan pelajar-pelajar sekolah bawah 15 tahun antara daerah di seluruh negeri Selangor sebagai usaha memupuk bakat muda serta menyemai semangat kesukanan di peringkat akar umbi.
"Tambahan lagi sukan bola sepak ini merupakan sukan paling popular dalam kalangan rakyat negeri Selangor," titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, SUK di sini hari ini.
Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah serta Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Terdahulu media melaporkan, SUKMA XXII Selangor 2026 akan tetap diteruskan dari 15 hingga 24 Ogos depan di sebalik cabaran krisis tenaga global dan kesan ekonomi yang dirasai seluruh dunia ketika ini.
Keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA 2026 pada 9 April lalu yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari yang turut dihadiri Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Dr Mohammad Norza Zakaria, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin dan EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi.
Taufiq berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan semua aspek secara teliti dan menyeluruh termasuk persiapan pihak penganjur dan barisan atlet negeri.
SUKMA XXII dijangka mempertandingkan 474 acara daripada 37 jenis sukan dari 15 Ogos sehingga 24 Ogos tahun hadapan.
Berdasarkan pecahan mengikut jantina pula sejumlah 239 acara sukan membabitkan atlet lelaki, 217 acara wanita dan 18 acara campuran.
Sebanyak 53 venue di sembilan daerah di Selangor akan digunakan sebagai gelanggang pertandingan membabitkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi-agensi kerajaan dan swasta serta Velodrom Nasional di Negeri Sembilan.
























