BH Online
Ringkasan Berita

Nurul Izzah gagal pertahan emas keirin

KUALA LUMPUR: Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Asri terlepas peluang mempertahankan gelaran acara keirin elit wanita di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) selepas dikenakan penurunan kedudukan dalam perlumbaan akhir, hari ini.
Nurul Izzah gagal pertahan emas keirin

Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Asri. Foto PKBM

KUALA LUMPUR: Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Asri terlepas peluang mempertahankan gelaran acara keirin elit wanita di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) selepas dikenakan penurunan kedudukan dalam perlumbaan akhir, hari ini.

Juara bertahan edisi 2025 itu pada awalnya melintasi garisan penamat di tempat kedua, namun kemudiannya diturunkan ke kedudukan kelima selepas pegawai perlumbaan memutuskan dia menolak seorang pelumba Korea Selatan dalam final di Velodrom Bandar Tagaytay.

Seorang lagi pelumba negara, Nur Alyssa Farid, turut gagal mencabar kedudukan pingat selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dalam final sama.

China menguasai perlumbaan itu dengan Yuan Liying meraih emas di hadapan rakan senegara, Wang Lijuan, manakala Haruka Nakazawa dari Jepun memenangi gangsa.

Malaysia turut terlepas peluang meraih podium dalam keirin elit lelaki apabila Fadhil Zonis menamatkan saingan di tempat keempat selepas dipintas pada peringkat akhir perlumbaan.

Ridwan Sahrom berada di kedudukan ketujuh ketika China terus mempamerkan dominasi dalam acara keirin.

Li Zhiwei mengetuai kedudukan satu-dua buat China di hadapan rakan sepasukan, Xie Han, manakala Kang Shi Feng dari Taiwan meraih gangsa.

Jurulatih berbasikal trek negara, Harnizam Basri berkata, anak buahnya kurang bernasib baik untuk meraih tempat di podium walaupun berjaya mara ke final.

"Nasib tidak menyebelahi Izzah dan Fadhil yang berjaya ke final... Izzah menamatkan perlumbaan di tempat kedua, tetapi diturunkan kedudukan selepas didapati sedikit menolak pelumba Korea Selatan.

"Itu adalah peraturan, dia diletakkan di tempat kelima dan pelumba Korea Selatan itu diturunkan ke tempat keenam," kata Harnizam.

Satu-satunya pingat Malaysia pada hari ini hadir menerusi pelumba junior, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak dalam acara pecut junior wanita.

Nur Umairah meraih pingat perak selepas tewas 2-0 kepada Park Hye Rin dari Korea Selatan di final.

Video Terkini

Berita Berkaitan