BH Online
Ringkasan Berita

PESAKA harap silat disenaraikan di Sukan Asia 2026

KUALA LUMPUR: Impian melihat silat dipertandingkan semula di pentas Asia semakin hampir menjadi kenyataan apabila kini berada di fasa terakhir bidaan ke temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya dari 19 September hingga 4 Oktober.
PESAKA harap silat disenaraikan di Sukan Asia 2026

Megat Zulkarnain (berdiri, 10 dari kiri) bersama pesilat negara pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan, baru-baru ini. FOTO/PESAKA

KUALA LUMPUR: Impian melihat silat dipertandingkan semula di pentas Asia semakin hampir menjadi kenyataan apabila kini berada di fasa terakhir bidaan ke temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya dari 19 September hingga 4 Oktober.

Ia sekali gus membuka laluan cerah buat Malaysia menambah kilauan emas.

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Datuk Megat Zulkarnain Omardin menaruh harapan tinggi agar usaha berkenaan menjadi kenyataan selepas semua syarat utama sudah dipenuhi.

Menurutnya, permohonan yang dikemukakan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) kini memasuki peringkat terakhir selepas memenuhi keperluan ditetapkan oleh Majlis Olimpik Asia (OCA) termasuk pengiktirafan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

"Saya difahamkan permohonan sudah dihantar hujung tahun lalu dan kita sudah memenuhi semua syarat termasuk pengiktirafan WADA. Saya fikir ini sudah berada di peringkat akhir.

"Jika ia dipertandingkan kita sudah bersedia dan negara Asia sudah membuat persiapan jika silat disenaraikan," katanya.

Megat Zulkarnain berkata, keputusan sama ada silat akan dipertandingkan dijangka diketahui sebelum April memandangkan tuan rumah mempunyai kuasa menentukan senarai akhir acara.

Menurutnya, penyertaan silat di peringkat Asia semakin meluas dengan lebih 20 negara dari pelbagai rantau sudah memiliki pasukan masing-masing.

Katanya, negara dari Asia Tengah seperti Uzbekistan, Kazakhstan, Azerbaijan dan Turkmenistan antara yang dilihat kuat selain penyertaan dari Asia Tenggara, Asia Timur dan Asia Barat.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden PERSILAT, Prabowo Subianto atas komitmen memperluaskan pengiktirafan dan berusaha keras melobi kerajaan Jepun supaya silat diterima di Nagoya nanti.

Menurutnya, usaha itu turut diperkukuh apabila silat dipersembahkan sebagai sukan demonstrasi pada Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum ini.

Sebelum ini, silat dipertandingkan secara rasmi pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, namun sukan itu tidak diteruskan pada edisi berikutnya ketika China menjadi tuan rumah.

Video Terkini

Berita Berkaitan