BH Online
Ringkasan Berita

Baker ledak hatrik aksi sulung bersama Garuda

BOGOR, Indonesia: Penyerang remaja, Mitch Baker meledak hatrik pada penampilan sulung bersama Indonesia ketika membantu skuad kendalian John Herdman membelasah Kemboja 5-1 pada aksi pembukaan Kumpulan A Kejohanan ASEAN, malam tadi.
Baker ledak hatrik aksi sulung bersama Garuda

Penyerang Indonesia, Mitch Baker meraikan salah satu golnya ketika berdepan Kemboja pada aksi Kumpulan A Kejohanan ASEAN di Bogor, malam tadi. – Foto ASEAN United FC

BOGOR, Indonesia: Penyerang remaja, Mitch Baker meledak hatrik pada penampilan sulung bersama Indonesia ketika membantu skuad kendalian John Herdman membelasah Kemboja 5-1 pada aksi pembukaan Kumpulan A Kejohanan ASEAN, malam tadi.

Penyerang kelahiran Australia berusia 19 tahun itu, yang layak mewakili Indonesia menerusi ibunya dan memperoleh kerakyatan negara itu sejurus sebelum kejohanan bermula, menjaringkan tiga gol dalam tempoh 56 minit pertama untuk memastikan kemenangan selesa buat tuan rumah.

"Saya tidak dapat menggambarkan apa yang saya rasakan ketika ini.

"Saya amat gembira untuk pasukan, keluarga saya dan Indonesia. Saat ini sudah lama saya nantikan. Saya benar-benar bangga dan ia jauh melebihi jangkaan saya," kata Baker.

Baker meletakkan Indonesia di depan seawal minit keenam menerusi tandukan hasil hantaran Thom Haye sebelum menambah gol kedua 10 minit kemudian apabila menyudahkan gerakan kemas pasukan menerusi hantaran lintang leret Eliano Reijnders.

Sandy Walsh menambah gol ketiga Indonesia pada minit ke-24, namun Kemboja merapatkan kedudukan tiga minit selepas babak kedua bersambung apabila penjaga gol Nadeo Argawinata tertampan bola hantaran lintang Chea Sokmeng ke gawang sendiri.

Bagaimanapun, Indonesia terus menguasai permainan apabila Baker melengkapkan hatrik pada minit ke-56 menerusi satu lagi tandukan hasil gandingan bersama Haye.

Jens Raven melengkapkan kemenangan bergaya Indonesia dengan gol kelima empat minit sebelum tamat perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan Indonesia mengutip tiga mata, menyamai juara bertahan Vietnam yang turut memenangi aksi pertama mereka dalam Kumpulan A.

Kedua-dua pasukan bagaimanapun masih ketinggalan tiga mata di belakang Singapura yang mengungguli carta selepas mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Timor-Leste 2-1.

Ilhan Fandi membuka jaringan buat skuad kendalian Gavin Lee pada minit ke-41 sebelum Song Ui Young menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-56. – REUTERS

Video Terkini

Berita Berkaitan