BH Online
Ringkasan Berita

Kenapa benci Argentina? - Martinez

BEUNOS AIRES: Lisandro Martinez menolak dakwaan Argentina bersikap angkuh selepas skuad La Albiceleste menjadi sasaran kritikan susulan beberapa insiden kontroversi sepanjang Piala Dunia 2026.
Kenapa benci Argentina? - Martinez

Pemain Argentina, Leandro Paredes dan Martinez bertembung dengan pemain Sepanyol, Gavi selepas tamat aksi final Piala Dunia 2026. Foto REUTERS

BEUNOS AIRES: Lisandro Martinez menolak dakwaan Argentina bersikap angkuh selepas skuad La Albiceleste menjadi sasaran kritikan susulan beberapa insiden kontroversi sepanjang Piala Dunia 2026.

Pertahanan Manchester United itu menyifatkan kecaman terhadap pasukan kebangsaan negaranya sebagai tidak berasas, sambil menegaskan pemain Argentina sentiasa menghormati setiap lawan yang dihadapi.

Argentina menerima kritikan sepanjang kejohanan selepas beberapa tindakan pemain dianggap terlalu agresif oleh sesetengah pihak, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai tingkah laku skuad kendalian Lionel Scaloni.

Kontroversi paling hangat tercetus selepas aksi final menentang Sepanyol apabila beberapa insiden berlaku, termasuk pertelingkahan membabitkan pemain kedua-dua pasukan, selain tindakan sebahagian pemain Argentina yang tidak menghadap pentas ketika Sepanyol menerima trofi.

Martinez bagaimanapun tampil menjelaskan keadaan sebenar, sambil menegaskan persepsi negatif terhadap Argentina tidak menggambarkan sikap sebenar pasukan itu.

"Adakah wujud kempen anti-Argentina? Saya sedikit terganggu kerana mereka tidak mempunyai alasan sebenar untuk membenci kami.

"Mereka mengatakan kami angkuh, tetapi perkara itu lebih menggambarkan diri mereka yang berkata demikian berbanding kami. Kami sentiasa menghormati semua lawan," katanya kepada Foot Mercato.

Pemain berusia 28 tahun itu berkata, walaupun beberapa kontroversi tercetus sepanjang Piala Dunia, ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk melabel keseluruhan pasukan Argentina sebagai tidak menghormati pesaing.

Dia turut menjelaskan tindakan pemain Argentina selepas final bukan bertujuan merendahkan Sepanyol, sebaliknya mereka mahu meraikan sokongan penyokong sendiri yang sentiasa bersama pasukan sepanjang kejohanan.

Martinez menegaskan semangat juang serta emosi tinggi dalam perlawanan tidak pernah menjejaskan nilai hormat Argentina terhadap lawan, yang menjadi prinsip utama mereka dalam setiap pertandingan.

Argentina menamatkan kempen Piala Dunia 2026 sebagai naib juara selepas tewas kepada Sepanyol pada final, sekali gus gagal mempertahankan gelaran yang dimenangi pada edisi 2022.

Video Terkini

Berita Berkaitan